Dakwaan dirogol rakan ADUN: Anak guam saya diugut tarik laporan, kata peguam

 

Peguam Asheeq Ali Sethi Alivi bersama anak guamnya selepas memberi keterangan di IPD Brickfields hari ini.

KUALA LUMPUR: Wanita yang mendakwa dirogol kenalan ADUN Gombak Setia, Hilman Idham, memaklumkan dia diugut supaya menarik balik laporan polis terhadap suspek terbabit.

Mangsa ditemani peguamnya, Asheeq Ali Sethi Alivi, memberi keterangan berhubung perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields hari ini.

Asheeq berkata, anak guamnya memberikan kerjasama penuh kepada pegawai penyiasat yang merakam keterangannya.

Pihaknya juga menyerahkan bukti berkaitan paksaan dan ugutan diterima wanita itu daripada beberapa individu yang dikatakan menggugut anak guamnya menarik balik laporan polis pertama dibuat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada 5 Dis 2020.

“Anak guam saya minta polis segera menyiasat bagaimana rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang sepatutnya menjadi salah satu bukti dalam siasatan tersebar di media sosial baru-baru ini,” katanya ketika ditemui pemberita di IPD Brickfields.

Wanita mendakwa dirogol kenalan ADUN Gombak Setia keluar dari IPD Brickfields sambil ditemani peguamnya.

Asheeq berkata, kehadiran mereka di IPD Brickfields hari ini tiada kena mengena dengan laporan polis pertama kes rogol pada 5 Dis 2020.

Beliau turut menjelaskan kejadian rogol membabitkan anak guamnya berlaku pada 5 Dis tahun lalu bukan pada Mei 2020 seperti didakwa sesetengah pihak.

“Anak guam saya buat laporan sehari selepas kejadian (4 Dis 2020) dan seterusnya membuat laporan kedua pada 8 Mei lalu untuk membetulkan balik laporan itu.

“Laporan polis kedua juga dibuat bagi melindungi anak guam saya dan keluarganya daripada terus diganggu individu terbabit,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita membuat laporan polis pada Disember tahun lalu, menuduh dua kenalan Hilman merogolnya.

Salah seorang didakwa ialah pemimpin bahagian parti komponen Perikatan Nasional (PN), manakala seorang lagi dikatakan sebagai kenalan lama ADUN itu.

Laporan polis itu didedahkan bekas pemimpin Umno, Lokman Adam.