ZIN MAHMUD
Banyak orang mengeluh
tentang gelagat rakyat yang tidak berdisiplin dan tidak memberikan kerjasama
penuh dalam usaha membendung wabak Covid-19. Serentak itu, mereka juga
menyalahkan kerajaan kerana masih gagal membendung wabak ini.
Jadi dalam negara ini
berlaku perbuatan salah-menyalah. Rakyat menyalahkan kerajaan. Kerajaan pula
menyalahkan rakyat. Rakyat yang mematuhi SOP menyalahkan orang ramai yang tidak
memberikan kerjasama. Kerajaan pula ada dua peringkat, perkhidmatan awam dan
ahli politik yang memegang jawatan. Di belakang tabir, mereka juga menyalahkan
satu sama lain.
Mengapakah rakyat
enggan memberi kerjasama penuh? Terdapat banyak faktor yang menyebabkan keadaan
demikian. Salah satu faktor penting ialah tahap keyakinan rakyat terhadap wabak
Covid-19.
Apa yang dimaksudkan
dengan kerjasama meliputi perbuatan yang luas. Dari sentiasa mengambil berat
terhadap arahan dan saranan dari pihak berkuasa sampailah kepada mendaftar
untuk menjalani vaksinasi. Termasuk di dalamnya ialah hanya keluar rumah jika
perlu. Tidak menganjurkan dan menghadiri majlis.
Kerjasama ini pula
perlu dilakukan bukan kerana takut dikenakan kompaun tetapi atas dasar
kesedaran dalam diri sendiri bahawa wabak Covid-19 adalah berbahaya terhadap
dirinya, keluarganya dan orang ramai. Dalam hal ini setiap orang pula tidak
boleh mementingkan diri sendiri semata-mata kerana mereka hidup bergantung pada
keluarga dan masyarakat.
Apabila membaca media
sosial, terdapat banyak orang bukan saja tidak memberi kerjasama tetapi mereka
turut mempertikaikan arahan dan saranan pihak berkuasa dalam menangani wabak
ini. Perkara ini dilihat sebagai berpunca dari kurang keyakinan. Ia berlaku di
pelbagai lapisan masyarakat, daripada kalangan golongan yang disebut sebagai
kayangan hinggalah kepada rakyat marhaen. Termasuk ada menteri sendiri yang
turut tidak memberi kerjasama dengan melanggar SOP. Apabila ditegur, pelbagai
alasan dikemukakan. Tidak hairanlah angka jangkitan virus ini meningkat begitu
rupa.
Kebanyakan rakyat
tetap memberi kerjasama. Tetapi dalam memerangi wabak ini, ia perlu kerjasama
semua orang kerana jika tidak, virus ini membolos kepungan dan menyambung
rantai jangkitan.
Sikap tidak memberi
kerjasama ini juga berasaskan pada keadaan masyarakat sebelum datangnya wabak
ini. Umpamanya, adalah kebiasaan bagi golongan kayangan menggunakan pengaruh
mereka, seperti memanfaatkan kabel untuk mendapatkan sesuatu atau mengelak
daripada mematuhi peraturan. Ia tidak patut berlaku dalam negara demokrasi yang
mengamalkan kesaksamaan kedudukan warga negara. Tetapi ia berlaku juga. Perkara
ini diketahui umum dan seolah-olah dapat diterima oleh masyarakat. Maka apabila
keadaan ini berlaku juga semasa adanya wabak Covid-19, rakyat tidak boleh
terima kerana bukan saja kerana soal ketidakadilan tetapi juga boleh menjejaskan
usaha melawan Covid-19.
Satu lagi perkara
yang menyebabkan perkara ini terserlah ialah kerana adanya media sosial. Kalau
dahulu cerita-cerita ini mungkin tersembunyi dengan pihak media massa yang
dikawal kerajaan menutup perkara itu dari diketahui umum. Ia hanya menjadi
bahan umpatan yang tidak disahkan kebenarannya. Tetapi dengan adanya media
sosial, audio dan video boleh dirakam dan disiarkan serta-merta dengan luas.
Reaksi juga boleh dikemukakan dengan mudah. Tanpa media sosial, tidak akan diketahui
reaksi orang ramai. Media massa yang dikawal kerajaan tentu mengelak diri untuk
menyiarkan reaksi negatif.
Siapakah golongan
kayangan? Walaupun istilah ini sudah lama ada untuk merujuk golongan atas dalam
masyarakat, tetapi hanya apabila berlaku wabak Covid-19, perkataan ini menjadi
popular, dengan tersebar melalui media sosial. Golongan kayangan boleh
ditafsirkan sebagai orang yang berpengaruh dalam masyarakat. Mereka bukan saja
berharta tetapi juga mempunyai kuasa, atau memiliki pengaruh ke atas golongan
berkuasa. Tidak semuanya terkenal. Mereka boleh jadi ahli politik, selebriti
seni atau agama, ahli perniagaan atau sesiapa saja yang tampil sebagai orang
berjaya.
Golongan kayangan ini
seperti yang diketahui umum sering pergi keluar negara. Sama ada untuk
bertugas, berniaga atau bercuti. Oleh kerana mereka berharta dan berpengaruh,
perkara itu tidak menghairankan. Cumanya pada zaman ini, ke mana mereka pergi,
sama ada London atau Mekah dapat diketahui dengan ketara apabila mereka
menyiarkan dalam media sosial. Tetapi dengan peraturan bagi membendung wabak
Covid-19 ini, mereka tidak dapat pergi keluar negara dan ini menyusahkan
kehidupan.
Sememangnya
peraturan-peraturan itu membebankan masyarakat. Bagi orang biasa, tidak dapat
merentas daerah dan negeri sudah cukup menyukarkan hidup, lebih-lebih lagi
apabila ia melibatkan pendidikan dan perniagaan. Jadi semua anggota masyarakat,
sama ada golongan kayangan atau murbawan terkesan dengan peraturan PKP.
Tetapi apabila ada
orang kayangan terlepas dari peraturan ini kerana kedudukan mereka, maka sudah
tentu rakyat marah. Dari PKP awal pada tahun lalu, ahli-ahli politik kerajaan
melanggar peraturan. Seorang menteri berjumpa dengan anak golongan kayangan
sedangkan pada masa itu semua orang duduk di rumah. Kemudian ada ahli politik
kerajaan mengadakan perjumpaan. Kemudian seorang menteri balik dari Turki tanpa
kuarantin. Kesemua perkembangkan ini membawa kepada kurangnya keyakinan rakyat.
Sebahagian rakyat
pula tidak mempunyai keyakinan tinggi terhadap wabak ini dan cara untuk
menanganinya. Perhatian mereka tertumpu kepada menjalani kehidupan seharian dan
peraturan-peraturan ini menyusahkan mereka.
Akibatnya mereka
tidak memberi kerjasama sepenuhnya. ini mungkin kerana mereka tidak memahami
mengenai wabak. Walaupun bertubi-tubi pihak berkuasa berusaha menerangkan pada
orang ramai, tetapi mesej itu tidak sampai. Adakah ini kerana kegagalan
Kementerian Penerangan? Sebaliknya ada yang terpengaruh dengan teori konspirasi
atau berita palsu mengenai wabak ini.
Malah pada awal wabak
ini, ada penceramah agama yang memperkecilkan bahaya wabak ini. Baru-baru ini
pula ada tertular seorang ustaz yang menceritakan beliau merentas negeri setiap
minggu untuk menziarah ibu bapanya. Cara beliau melepaskan diri dari sekatan
jalan raya ialah dengan membaca selawat. tentunya perbuatan itu merupakan sikap
mementingkan diri dan memudaratkan masyarakat termasuk ibu bapanya.
Ada seorang bapa pula
memberi tekanan kepada anaknya supaya pulang berhari raya walaupun merentas
negeri. Dia menyatakan kesanggupan untuk membayar kompaun. Hakikatnya ialah
kompaun itu bukan soal kesanggupan membayar. Soalnya adalah untuk menghalang
merebaknya wabak.
Mengapa rakyat
Malaysia tidak berdisiplin? Mungkinkah masyarakat negara ini sebegitu rupa?
Tidak berdisiplin dan tidak beretika juga menjadi punca kepada berleluasanya
korupsi. Malah penubuhan kerajaan Perikatan Nasional juga berdiri di atas
tindakan tidak beretika melompat parti. Maka ia turut menghakis keyakinan
rakyat. Menteri-menteri dilantik bukan atas kelayakan mereka tetapi untuk
mendapatkan sokongan dari ahli-ahli parlimen bagi penubuhan kerajaan berkenaan.
Malaysia perlukan
suasana baharu di mana perjalanan masyarakat hendaklah berdiri di atas disiplin
dan keyakinan rakyat terhadap kerajaan. Semua peringkat, sama ada kerajaan atau
rakyat, sama ada golongan kayangan atau marhaen perlu sedar mengenai
kepentingan hidup beramanah supaya ada harapan bagi negara ini memperoleh
rahmat untuk semua rakyatnya, termasuklah bebas dari wabak Covid-19.