Semoga
keputusan mahkamah kes Najib jadi kafarah dosa – Nik Abduh
By
Nik Abduh Nik Aziz
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Abdul Aziz
mengucapkan tahnian atas kemenangan Datuk Seri Najib Razak dalam mempertahankan
dirinya daripada segala pertuduhan di mahkamah.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu berharap bekas Perdana Menteri
itu tidak kecewa dalam perjuangannya.
“Pagi Jumaat penuh berkat ini, saya ingin
ucapkan tahniah kepada Datuk Seri Najib. Semoga Allah rahmati perjuangan Datuk
Seri mempertahankan diri daripada segala pertuduhan di mahkamah.
“Jangan kecewa berjuang. Kecewa hanya untuk mereka yang
melakukan kesalahan dan kekal di atasnya. Kelegaan dan kegembiraan adalah buat
mereka yang bertaubat dan membaiki diri.
“Saya mengikuti sedari lama perjuangan mereka yang
mempertahankan diri di mahkamah terutama orang-orang politik termasuk juga
Datuk Seri Anwar Ibrahim dahulu,” katanya menerusi Facebooknya hari ini.
Semalam, media melaporkan, kerajaan
Malaysia gagal dalam permohonannya untuk melucut hak wang tunai berjumlah RM114
juta yang disita polis di Pavilion Residence pada 17 Mei 2018, didakwa milik
Najib dan UMNO.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin dalam
penghakimannya berkata, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan
wang dirampas dari sebuah premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd itu diperoleh
daripada kesalahan pecah amanah.
Katanya, pegawai penyiasat kes pengubahan wang haram iaitu
Asisten Komisioner D. Rajagopal gagal menunjukkan wang itu harta curi, wang
dipindahkan hasil daripada pecah amanah jenayah atau penipuan serta gagal
menjelaskan bagaimana pecah amanah jenayah atau penipuan berlaku.
Menurut Nik Abduh, persamaan dihadapi
Najib dan Anwar ialah mereka melawan Tun Dr. Mahathir Mohamad lalu diheret ke
mahkamah tetapi dengan perbezaan pertuduhan.
“Semoga jadi kafarah daripada dosa. Itulah yang utama dalam
setiap musibah. Muslim tidak pernah rugi selama dia yakin pada ketentuan Allah
untuknya.
“Ini mahkamah dunia. Ada orang yang amat jahat tetapi tidak pun
dihadapkan ke mahkamah. Allah menangguhkannya sehingga akhirat.
“Di sana, segalanya hanyalah penyesalan kecuali dengan bekalan
taubat, keinsafan, ihsan dan rahmat daripada Tuhan Yang Maha Esa,” katanya
sambal memberi semangat agar Najib teruskan berjuang.