Serangan pasukan keselamatan Israel ke atas Masjidil Aqsa di
Palestin dikecam sekeras-kerasnya Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).
Menurut Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz, serangan tersebut yang mencederakan hampir 200 umat Islam Palestin yang sedang beriktikaf disifatkan sebagai menghina agama Islam di bulan Ramadan.
"ABIM menegaskan tindakan ini adalah perbuatan biadab kerana ia dilakukan ke atas umat Islam yang sedang beribadah sempena bulan Ramadan yang mulia, dan terang-terangan tidak menghadirkan sebarang ancaman keselamatan.
"Justeru kekejaman ini merupakan jenayah terhadap kemanusiaan kerana membabitkan masyarakat awam termasuk wanita serta kanak-kanak sepertimana dilaporkan media antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan hari ini
Sehubungan itu, ABIM mahu masyarakat antarabangsa bersuara dan mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis berkenaan.
"Atas nama kebenaran dan keadilan, ABIM menggesa masyarakat dunia membuka mata serta menyatakan solidariti bersama rakyat Palestin yang secara berterusan menjadi mangsa kekejaman rejim yang melangkaui norma kemanusiaan sejagat.
"ABIM juga menuntut pemimpin-pemimpin dunia khususnya dalam kalangan negara Islam termasuk Malaysia membuktikan solidariti dengan mengenakan tekanan politik sehingga kekejaman seperti ini dihentikan sama sekali," katanya lagi.
Konflik Israel - Palestin menjadi buruk sejak bulan lalu apabila kumpulan bersenjata Palestin menyerang Israel dengan roket dan dibalas serangan artileri serta jet-jet pejuang negara Yahudi itu.