Vaksin AstraZeneca: Pembekuan darah kesan sampingan sangat jarang berlaku - EMA

Astro Awani

Vaksin AstraZeneca: Pembekuan darah kesan sampingan sangat jarang berlaku - EMA
EMA menggambarkan masalah pembekuan darah sebagai kesan sampingan yang 'sangat jarang' berlaku. - Foto REUTERS
AMSTERDAM: Pengawal selia ubat Kesatuan Eropah (EU) mengesahkan menemui 'kemungkinan hubung kait antara vaksin AstraZeneca dan masalah pembekuan darah yang jarang berlaku.
Bagaimanapun Agensi Ubatan Eropah (EMA) menolak untuk mengenakan sebarang had usia dengan menyatakan manfaat daripada suntikan AstraZeneca masih melebihi risiko.
EMA menggambarkan masalah pembekuan darah sebagai kesan sampingan yang 'sangat jarang' berlaku

Jelasnya, kebanyakan kes yang dilaporkan berlaku pada wanita berusia di bawah 60 tahun dalam dua minggu selepas diberi suntikan vaksin AstraZeneca.
Namun berdasarkan bukti setakat ini, EMA masih tidak dapat mengenal pasti faktor risiko tertentu.
Pakar mengkaji puluhan kes yang diterima terutama dari Eropah dan UK di mana sekitar 25 juta invididu telah menerima vaksin AstraZeneca.
Pengarah Agensi Ubatan Eropah (EMA), Emer Cooke menyatakan hasil pemantauan dan penilainan menunjukkan bahawa sistem 'pharmacovigilance' berfungsi.
"Kes ini jelas menunjukkan salah satu cabaran yang timbul susulan kempen vaksinasi berskala besar.
"Keadaan ini sangat jarang terjadi dan tidak dikenal pasti semasa ujian klinikal.
"Kes ini juga menunjukkan kepada kita bahawa sistem 'pharmacovigilance' kita berfungsi. Kejadian sangat jarang dan tidak biasa ini telah diambil, dikenal pasti, dianalisis dan telah membenarkan kami untuk mendapatkan cadangan berasaskan sains untuk membenarkan penggunaan vaksin ini dengan selamat dan berkesan," katanya.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, Agensi Ubat-ubatan Eropah tidak memberikan sekatan baharu untuk menggunakan vaksin AstraZeneca ke atas individu berusia 18 tahun ke atas.
Ketua Analisis Data dan Metodologi EMA, Peter Arlett berkata, bagaimana vaksin digunakan oleh negara anggota yang berbeza sudah tentu akan mempengaruhi ketersediaan vaksin.
EMA, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan banyak pihak berkuasa kesihatan lain telah berulang kali menyatakan bahawa vaksin AstraZeneca selamat dan berkesan.
Ini kerana perlindungan yang ditawarkannya terhadap COVID-19 mengatasi risiko pembekuan darah yang jarang berlaku.