Tugas utama PH menyedarkan rakyat melawan kebobrokan - Anwar

 


POSTED BY AMIR WRLR


Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tugas utama Pakatan Harapan (PH) adalah menyedarkan rakyat untuk melawan kebobrokan pemerintahan yang ada dan menggantikan kepada yang lebih baik dalam pilihan raya.

Beliau berkata demikian ketika melawat galeri Theater Impian sempena ulang tahun ke 80 tahun tokoh karismatik DAP, Lim Kit Siang.

"Kalau kita lihat ini impian beliau. Saya katakan bahawa Kit Sing, saya dan rakan dalam KEADILAN, DAP terutamanya, kita harus menumpukan perhatian mempersiapkan jentera untuk membawa idea bernas dalam kalangan rakyat.

"Dan medan pertempuran itu adalah pilihan raya. Inilah yang menjadi fokus PH. Saya masih menanggap tugas utama kita ialah menyedarkan rakyat dan mengajak rakyat bersama memikul tanggungjawab menyelamatkan negara dari kebobrokan yang ada.

"Kalau yang melihat lukisan ini (dipamerkan dalam galeri). Ramai dari kalangan pelukis muda sangat menyentuh perasaan, melihat tokoh (Kit Siang) yang terpaksa mengharungi derita sekian lama.

"Saya rasa kita manfaatkan untuk ke depan. Ke depan itu ialah untuk menjadikan idealime ini kukuh dan mantap, kita terjemahkan dalam undi rakyat untuk PRU akan datang," katanya dalam sidang media ringkas, semalam.

Mengulas mengenai hubungan beliau dengan Lim Kit Siang yang berlaku sejak zaman aktivisme Abim, Anwar berkata rakan lamanya itu amat konsisten dalam perjuangan rakyat dan sukar untuk menemukan tokoh sedemikian dalam politik Malaysia.

"Saya sebagai sahabat rapat dengan Kit Siang tentunya mempunyai pandangan positif terhadap beliau.

"Beliau tokoh yang sangat konsisten. Politik ini perlu mencari tokoh politik yang ada idea dan konsisten mempertahanknya menghadapi pelbagai liku ranjau perjuangan. Itu tidak mudah. Oleh itu apa pun sikap kita terhadap Kit Siang, tidak dinafikan tokoh ini antara negarawan yang banyak menyumbang kepada kesedaran rakyat.

"Sejarah selalunya dilakar oleh penguasa. Penulisan sejarah, sejarah Tanah Melayu sejarah Malaysia, tokoh kerajaan, raja dan Perdana Menteri.

"Tetapi yang harus dilakar ialah sejarah kebangkitan rakyat, dan di sini kita lihat bagaimana tokoh yang mengabdikan diri kepada perjuangan rakyat, dapat dikenal," katanya lagi.

Theater Impian yang terletak di Bukit Jalil, Kuala Lumpur mempamerkan 100 karya lukisan 80 pelukis tempatan mendokumentasikan perjalanan, pertempuran politik, impian dan perjuangan Lim Kit Siang sepanjang 55 tahun penglibatan beliau dalam politik.

Galeri itu diwujudkan sempena ulang tahun Lim Kit Siang ke 80 tahun.