Terkini! Umno persoal Hadi Awang tentang agihan kerusi

 

Terkini! Umno persoal Hadi Awang tentang agihan kerusi


Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mempersoalkan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa parti itu perlu menyelesaikan masalah dalaman sebelum rundingan agihan kerusi dengan Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) boleh diteruskan.

Katanya, soal pembahagian kerusi dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak menjadi masalah kerana UMNO sudah melantik Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai perunding yang mewakili parti itu.

“Kenyataan (Abdul Hadi) tidak begitu jelas apa maknanya masalah dalaman UMNO. Soal nak runding dengan siapa pun UMNO memang tiada masalah (dan) kita sudah bersetuju lantik Datuk Seri Mohamad Hasan untuk lakukan perundingan pembahagian kerusi.

“Jadi tiada masalahnya. Tidak ada siapa cakap tak setuju Datuk Seri Mohamad Hasan (berunding tentang) pembahagian kerusi (dengan Pas). Saya sebenarnya tak faham apa maksudnya, apa yang dia nak tunggu dan apa masalahnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Insentif Johor Berkebajikan E-Kasih 2021 di Dewan Serbaguna Taman Cendana di sini pada Jumaat.

Pada Jumaat, Abdul Hadi meminta UMNO berbuat demikian dan Pas tidak menghentikan rundingan bersama-sama UMNO namun parti itu mengambil pendirian berbincang dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selagi kemelut UMNO tidak menemui penamat.

“Ia (agihan kerusi) baru di peringkat awal, dengan UMNO kita masih ada hubungan. Kita tidak henti cuma tangguh kerana masalah UMNO tidak selesai. Orang-orang pun dia tukar menukar, lepas orang ini, tukar orang ini pula, ia tidak tetap jadi kita tunggu (selesai) dan bincang dengan Bersatu dulu,” kata Abdul Hadi sebagai dipetik.

Mengulas lanjut, Mohamaed Khaled berkata, UMNO mengamalkan demokrasi dan ahlinya bebas memberikan pandangan serta pendirian berbeza.

“UMNO tidak pernah kekang mereka untuk zahirkan pendirian mereka dan apabila pendirian dizahirkan walau apa pun perbezaannya bukan masalah. Itu cara UMNO meraikan demokrasi,” katanya.

Mengenai Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai antara UMNO dan Pas, beliau yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, UMNO akan terus mendukung dan memantapkan kerjasama yang sudah sedia terjalin.

Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi Yayasan Pasir Gudang menyampaikan sumbangan berjumlah RM300 sebulan untuk tempoh dua bulan kepada sebahagian daripada 783 penerima yang tersenarai dalam e-Kasih bagi meringankan beban menyambut Aidilfitri.

Bagi program tersebut, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) memperuntukkan RM469,800 untuk diserahkan kepada penerima yang layak.