Tidak pernah surut dengan deretan pertikaian yang bertali arus berkaitan dirinya sejak bergelar Perdana Menteri setahun yang lalu, Mahiaddin Md Yasin sekali lagi menyerlahkan dirinya kepada perlakuan yang cukup memalukan.
Kali ini, disebabkan menggunakan nama glamour Muhyiddin Yassin, perintah tahanan yang ditandatanganinya ketika memegang jawatan Menteri Dalam Negeri telah diputuskan tidak sah oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Berikutan keputusan tersebut, pesalah dari Sabah yang ditahan berkaitan pengedaran dadah telah dibebaskan.
Pesuruhjaya Kehakiman, Norsharidah Awang ketika membuat keputusan, membenarkan permohonan habeas corpus oleh Awang Sari Lasikan kerana penggunaan nama lain itu melanggar Akta Fungsi-fungsi Menteri dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas).
Peguam Zafran Zafri Mohd Zaini berkata, mahkamah membatalkan perintah tahanan terhadap Awang Sari dan mengarahkannya dibebaskan serta-merta.
Persoalan paling besar di sini, dengan memegang menteri puluhan tahun sebelum ini dan Perdana Menteri sejak lebih setahun lalu, sudah berapa banyak arahan, perjanjian, MOU atau lain-lain dokumen yang ditandatangani beliau atas nama Muhyiddin Yassin dan bukan Mahiaddin Md Yasin sebagaimana yang tertera dalam kad pengenalannya?
Jika penahanan seorang pesalah dadah boleh diputuskan tidak sah kerana menggunakan nama yang bukan tertera pada kad pengenalan, mungkinkah yang lain-lain turut tidak sah juga?
Apakah selepas ini lebih ramai akan tampil menuntut keadilan di mahkamah jika mereka ada terbabit dalam sebarang perkara yang melibatkan Mahiaddin, tetapi ditandatanganinya dengan menggunakan nama Muhyiddin?
Bagaimana pula dengan kemenangan beliau dalam PRU kerana sejak sekian lama ia juga menggunakan nama Muhyiddin, bukan Mahiaddin?
Bahkan dalam PRU14 pada tahun 2018 lalu, Mahiaddin sendiri ada meminta SPR tidak menggunakan nama sebenarnya dalam borang pencalonan untuknya bertanding, sebaliknya mahu diletakkan nama Muhyiddin.
“Nama yang saya minta dalam borang percalonan adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin, itulah nama yang saya gunakan sejak dahulu lagi.
“Jadi saya hairan bagaimana dalam laman web SPR mengemukakan nama Mahiaddin bin Md Yassin.
“Saya telah minta agar ia diperbetulkan atau saya akan buat bantahan rasmi. Kerana kalau tidak nanti ada pihak yang keliru,” katanya dipetik dalam laporan sebuah portal bertarikh 29 April 2018.
Dalam hal ini, kenapa Mahiaddin tidak mahu menggunakan nama yang diberi oleh kedua ibu bapanya sendiri iaitu Mahiaddin, tetapi lebih seronok menggunakan nama lain yang kononnya kelihatan lebih glamour dan moden.
Apakah ini bermakna Muhyiddin malu dengan nama sebenarnya yang diberi oleh ibu bapanya itu?
Yang nyata, hanya dengan satu kes tahanan yang terbabit dengan pengedaran dadah telah dilepaskan akibat penggunaan nama glamour itu, Mahiaddin benar-benar telah memalukan seluruh rakyat dan negara dengan tindakannya itu.
Tidak pernah kita ada seorang pemimpin, apa lagi Perdana Menteri, yang tergamak menggunakan nama lain sejak sekian lama yang mana nama tersebut telah diterima umum sebagai namanya yang sebenar, walhal kita seolah-olah telah kena tipu selama ini.
Ada yang berkata sinis, kalau nama sendiri pun ditipu, bagaimana dengan kejujuran yang lain?
Apakah janji dan kata-katanya kepada rakyat, khusus ketika beliau memegang jawatan Perdana Menteri sejak setahun lalu, dijamin boleh diterima sebagai jujur dan bukan tipu juga? (
Shahbudindotcom 03/04/2021)