Sekolah tempat menimba ilmu, bukan lawak lucah, ugutan rogol
Alam persekolahan sewajarnya menjadi kenangan indah detik-detik awal kehidupan seseorang menimba ilmu dan bukan tempat mempelajari gangguan emosi atau ugutan rogol.
Ketua Wanita KEADILAN, Fuziah Salleh berkata, insiden dalam beberapa hari kebelakangan ini sebagaimana dilapor media terdapat pelajar diraba untuk memastikan datang bulan atau pelajar diugut akan dirogol selepas mendedahkan guru lelaki membuat jenaka lucah dalam kelas sepatutnya menyedarkan masyarakat ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem pendidikan awal anak-anak mereka.
“Dalam kes-kes ini Wanita KEADILAN menegaskan bahawa semua insiden itu merupakan tindakan yang bukan sahaja merosakkan nama baik guru, tetapi juga menghakis kepercayaan orang ramai terhadap integriti institusi pendidikan secara keseluruhan, dan sewajarnya insiden ini tidak berlaku di sekolah anak-anak kita.
“Seluruh rakyat Malaysia juga harus memandang serius hal ini kerana sekiranya kita tidak berbuat demikian, mempersenda maruah wanita akan menjadi suatu ‘kelaziman’.
“Hari ini mungkin berlaku ke atas anak orang lain, satu hari tidak mustahil berlaku ke atas anak kita sendiri sekiranya gejala ini tidak dibendung.
“Sekolah yang merupakan tempat menimba ilmu dan sepatutnya dipenuhi dengan kenangan manis untuk dibawa ke alam dewasa dan dijadikan bahan bercerita sewaktu usia tua, tentu sekali berbeza jadinya jika insiden sebegini berterusan terjadi .
“Saya yakin ibu bapa yang mempunyai anak perempuan tentu amat khuatir tentang keselamatan anak mereka di tempat yang seharusnya selamat. Saya juga yakin ibu bapa tentu sekali khuatir sekiranya anak lelaki mereka pula mampu mengugut untuk merogol pelajar perempuan sedangkan mereka masih dalam usia muda dan dikategorikan sebagai ‘bawah umur’,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Ahli Parlimen Kuantan itu, sistem pendidikan akan masuk ke dalam suasana yang mengerikan andainya seorang guru boleh membuat gangguan seksual tanpa tiada akta melarangnya.
Atau murid-murid boleh mengugut rogol teman sekelasnya dan hal itu dianggap gurauan biasa.
“Seorang guru dewasa boleh membuat lawak lucah di hadapan pelajar perempuan di kelas dengan selamba, tanpa merasakan ianya satu kesalahan yang boleh dikategorikan sebagai gangguan seksual. Hal ini sesuatu yang amat mengerikan.
“Adakah berkemungkinan guru tersebut melakukan perkara yang sama kepada wanita-wanita lain? Dalam negara kita yang ketiadaan undang-undang melindungi wanita dari gangguan seksual, situasi seperti ini boleh menjadi trauma yang mendalam bagi kaum wanita.
“Pelajar lelaki pula mengugut mahu merogol seorang pelajar perempuan, mungkin juga mampu mengugut wanita lain apabila dia dewasa kelak? Persoalan lebih besar ialah persekitaran anak-anak kita belajar dan membesar kini menjadi persekitaran yang menakutkan.
“Pihak kerajaan wajar meneropong kepada isu lebih besar yang dibangkitkan di atas, iaitu pembentukan budaya adab sopan, serta hormat kepada wanita di sekolah dan dalam masyarakat.
“Budaya yang merupakan amalan sesebuah masyarakat memang sukar dibentuk kerana ia mengambil masa panjang. Akan tetapi parameter membentuk masyarakat tersebut bermula dengan penggubalan sistem dan undang-undang. Wajib dipersetujui bersama apa yang boleh diterima dan apa yang tidak boleh diterima sebagai sebahagian dari norma dan adab sopan di sekolah, dalam keluarga dan juga dalam masyarakat.
Gangguan Seksual bukan salah satu norma yang boleh diterima, malahan ianya wajib dikecam!” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar kerajan Perikatan Nasional segera membuka Parlimen bagi membentang dan meluluskan Akta Gangguan Seksual selepas terdedahnya perkara-perkara yang menggugat emosi dan maruah itu.
“Kegagalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Menteri Pendidikan mengenalpasti isu ini sebagai satu isu yang besar adalah amat mengecewakan.
“Rang Undang-Undang Gangguan Seksual gagal dibawa ke Parlimen seperti yang dijanjikan sewaktu PH menjadi kerajaan. Walaupun terdapat Akta Kanak-kanak dan peruntukan-peruntukan di dalam Kanun Keseksaan serta beberapa undang-undang lain yang sedia ada untuk mengekang jenayah gangguan seksual, namun ia belum mampu menangani gangguan seksual secara spesifik. Sebab itulah kita memerlukan RUU Akta Gangguan Seksual dibentangkan dengan serta merta,” katanya lagi.