Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini dikecam netizen kerana menyifatkan isu bantuan yang diberikan Ahli Parlimen Bukit Mertajam (DAP) Stevan Sim kepada rider Foodpanda, isu perkauman.
Dr Kamarul Yusoff dalam hantaran di Facebooknya membuat perbandingan antara pemberian bantuan Ahli Parlimen Pendang (Pas) Datuk Awang Hashim dengan Steven Sim yang sama-sama menghulurkan bantuan kepada pekerja Foodpanda.
Katanya, kedua-dua Ahli Parlimen yang memberikan bantuan tiada beza dari segi nilai bantuan, dan latar belakang penerima bantuan.
“Yang berbeza ialah pemberi bantuan, satu Melayu Islam, tetapi satu lagi Cina Kristian,” katanya.
Tambah beliau, yang membezakan juga ialah Ahli Parlimen Pas hanya dinyatakan secara ringkas fakta kejadian beserta gambar rasmi pemberian bantuan.
Sebaliknya, kata beliau, Steven Sim menceritakan panjang lebar dengan menggunakan ayat-ayat yang dimaksudkan untuk mencetuskan emosi, dikaitkan dengan Ramadan dan disertakan dengan gambar-gambar terperinci yang sengaja dirancang dari awal untuk tujuan publisiti.
Berikutan kenyataan pensyarah UUM itu, netizen meninggalkan komen-komen mengecam beliau antaranya;
“Prof ke ni? Bunyi posting ni sangat defensif bila publisiti YB yang awak banggakan tu tak menjadi. Posting dia jadi geli bila disuruh orang lain buat kerja, dia datang untuk serahan saja. Posting YB Cina tu melihatkan dia sendiri bawa pemuda tu membeli motor. Nampak bezanya? Jadilah muslim yang lebih baik.. Bukan berbaur dengki,” tulis Amiruddin Karim.
“Sembang pejuang melayu Islam.. racist sungguh.. sangat-sangat memalukan orang Islam,” kata Dzu Ra.
“Tidak perlu nak bandingkan…tidak kira lah siapa yang memberi bantuan…tak payah nak politikan benda-benda macam ni…yang baik kita terima….yang tidak elok kita bakang…Harap-harap banyak lagi YB-YB yang turun padang hulurkan bantuan kepada yang memerlukan,” komen Awemito Awemito.
“Tak. Sekarang ni engkau tak puas hati yang Melayu tu tidak viral macam Cina tu ke apa? Dua-dua beri bantuan. Kalau ikhlas, tutup mulut. Nak banding-banding buat apa?
“Soal bantuan nak bagi pada siapa-siapa pun biarlah. Dah nama pun bagi bantuan. Bukan dia mencuri. Soal Cina post panjang-panjang yang Melayu post ringkas, itu pun jadi isu ke? Macam point awal-awal tadi, nawaitu kita post di social media untuk apa? Untuk orang tahu kan? Posting tu panjang ke, pendek ke, tetap nak suruh orang tahu. Lepas itu tidak viral, main sentimen kaum, agama,” komen Ayden Aliff.
Menurut Kamarul, cerita Cina Kristian memberi bantuan kepada pekerja Food Panda Melayu Islam yang sengaja mahu disensasikan ini segera viral dengan mendapat lebih 29,000 shares.
“Serta dilapor oleh pelbagai portal seperti Malaysia Kini, Malaysia Date Line, Malaysia Post, Sinar Harian, Siakap Keli, World of Buzz dan sebagainya.
“Manakala cerita Melayu Islam memberi bantuan sama kepada pekerja Food Panda Melayu Islam pula tidak viral dengan hanya beroleh tidak sampai 500 shares serta hanya dilapor oleh media parti Melayu Islam itu sahaja.
“Maka dipuja-pujilah Cina Kristian itu kerana budi baiknya itu walhal ini semua adalah perancangan untuk publisiti bagi memenuhi agenda tertentu sahaja.
“Bukannya tidak ada Cina Kristian atau Cina lain yang hidup melarat, malah ramai, tetapi mengapa Melayu Islam yang dipilih untuk disensasikan ceritanya?
“Bukannya tidak ada Melayu Islam yang boleh membantu Melayu Islam yang hidup melarat jika diketahui tetapi mengapa Cina Kristian yang dipilih untuk mengadu? Sama-samalah kita fikir dan renungkan,” katanya.
Steven Sim sebelum ini pernah menolong ibu tunggal yang dihalau keluar keluar rumah kerana tidak membayar sewa kemudian beliau pula menolong seorang gelandangan India mendapatkan pekerjaan dan tempat tinggal, terkini beliau membelikan sebuah motosikal honda kepada pemuda Melayu Foodpanda.