Penahanan Fahmi Reza buka ruang pendakwaan terpilih, salah guna kuasa, kata NGO


Centre for Independent Journalism (CIJ) dan ARTICLE 19 Malaysia berkata, penahanan pereka grafik Fahmi Reza tidak perlu dan tidak seimbang dengan perbuatan.

PETALING JAYA: Sebuah gabungan organisasi masyarakat sivil membantah penahanan artis grafik, Fahmi Reza, semalam, yang dipercayai berhubung catatan di media sosial.

Centre for Independent Journalism (CIJ) dan ARTICLE 19 Malaysia berkata, penahanan itu tidak perlu dan tidak seimbang dengan perbuatan.

“Ia menonjolkan ciri Akta Hasutan yang luas dan seringkali tidak berasaskan pertimbangan tertentu, serta perlu dimansuhkan sejak sekian lama.

“Begitu juga dengan Seksyen 233 Akta KMM yang dilihat cacat kerana menjadikan perbuatan membuat hantaran jelik dengan niat untuk menyakitkan hati sebagai satu kesalahan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Fahmi ditahan polis di rumahnya.

Peguamnya Yohendran Nadarajan, memberitahu FMT, Fahmi dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan disiasat bawah Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia.

Dalam pada itu, gabungan berkenaan berkata tindakan terhadap Fahmi membuka ruang untuk pendakwaan terpilih serta salah guna kuasa.

Katanya, satira memainkan peranan penting dalam masyarakat sebagai ruang memberikan pandangan, berbincang serta berdebat tentang nilai yang dikongsi bersama.

“Satira politik secara khususnya, memainkan peranan penting untuk berhubungan dengan institusi kekuasaan melalui ruang jenaka.

“Ruang-ruang ini perlu dipertahankan sebagai bahagian penting penglibatan awam, membenarkan perbahasan berterusan serta demokrasi sihat yang mampu bertahan menghadapi kritikan dan perbezaan pendapat,” katanya.

Gabungan itu turut bimbang dengan laporan terdapat sekumpulan anggota polis yang didakwa memecahkan pintu rumah Fahmi dalam serbuan sebelum penahanan dilakukan.

Katanya, perbuatan untuk menunjukkan kekuasaan itu sama-sekali tidak perlu dan boleh dilihat sebagai cubaan mengintimidasi oleh pihak berkuasa.

“Kami menuntut pembebasan Fahmi dengan segera tanpa sebarang penangguhan.

“Tidak harus ada sebarang tolak-ansur terhadap apa-apa cubaan untuk mencabul serta melemahkan hak asasi kebebasan kita bersama,” katanya.