POSTED BY AMIR WRLR
Pemukiman pimpinan Pakatan Harapan (PH) di Port Dickson menyedari
demokrasi di Malaysia telah dilemahkan dengan dasar-dasar kerajaan Perikatan
Nasional (PN) yang merosakkan kemampanan ekonomi dan memburukkan imej negara di
peringkat antarabangsa.
Sehubungan itu, kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini menuntut agar Malaysia segera diselamatkan dengan cara mengalahkan PN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 yang mungkin diadakan seawal hujung tahun ini
"PH menginsafi pandemik Covid-19 telah mendatangkan dampak yang cukup mendalam kepada rakyat, ekonomi dan negara serta dasar-dasar PN yang jelas gagal menangani keadaan semasa
"Kami juga menyesali demokrasi di Malaysia telah parah akibat malapetaka pengkhianatan dan pembelotan politik yang terkutuk sehingga menyebabkan kepercayaan rakyat terhadap demokrasi itu sendiri luntur dan terhakis
"Oleh itu, usaha memulihkan negara terletak kepada kemenangan
PH dalam PRU ke-15. Justeru usaha menggembleng seluruh kekuatan perlu
berasaskan prinsip dan agenda Reformasi, manakala kelangsungan kerajaan
bergantung kepada kestabilan dan
keutuhan politik," kata mereka dalam satu kenyataan.
Dengan itu, pemukiman pimpinan PH telah memutuskan 7 resolusi untuk dilaksanakan:
1. Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetuai kempen PRU ke-15 dan seterusnya diangkat sebagai calon Perdana Menteri Malaysia;
2. Kami mendesak Perdana Menteri untuk segera menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen dan senafas dengan itu menamatkan Darurat;
3. Kami mengulangi ikrar, tekad dan iltizam untuk terus memperkukuh PH dalam mendepani PRU ke-15, seterusnya memaparkan upaya untuk mentadbir dan memerintah negara dengan amanah, demokratik dan adil;
4. Kami mengiktiraf potensi dan kepentingan Wilayah Sabah dan Sarawak sebagai enjin pertumbuhan ekonomi yang baharu dalam memacu pembangunan negara, dengan jaminan pengagihan sumber yang lebih saksama, seiring dengan sinergi pembangunan ibu kota baharu
Indonesia di Kalimantan;
5. Kami akan menggerakkan semua wakil rakyat dan pimpinan negeri untuk memerah seluruh potensi dan keupayaan bagi menangani isu-isu dasar berkait pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. Kami juga akan meneruskan proses libat urus bersama semua pemegang taruh untuk membentuk manifesto PH;
6. Kami mengambil pendirian yang terbuka untuk berunding dan bekerjasama dengan mana-mana pihak, berdasarkan prinsip dan agenda Reformasi demi kepentingan rakyat; dan
7. Kami akan memulakan siri jelajah ke negeri-negeri untuk memberikan penerangan kepada rakyat berkait pendirian dan tawaran PH menyentuh isu ekonomi rakyat, kestabilan politik dan krisis pandemik Covid-19.
Pemukiman selama 2 hari pada 8 dan 9 April itu dihadiri pemimpin-pemimpin utama PH seperti Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Selain itu, pemukiman juga dihadiri anggota-anggota Majlis Presiden PH, ketua wanita dan pemuda di samping Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.