BOB KELANANG
Pemimpin Umno kecam Faiz Na'aman, sifatkannya 'anjing salakan
politik'
Pemimpin Umno tampil membidas kenyataan Ahli Majlis Pimpinan
Tertinggi Bersatu yang dianggap biadab kerana menyifatkan pemimpin
"kluster mahkamah' Umno sebagai "binatang politik".
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Armand Azha Abu Hanifah berkata
kenyataan pemimpin Bersatu itu sebagai "anjing salakan politik".
"Sikap kurang ajar beliau yang mengeluarkan kenyataan
populis boleh akibat hura-hara politik negara ibarat seekor 'anjing salakan
politik'.
"Tindakan 'barking dog' MPT Bersatu Muhammad Faiz Na'aman
amat memalukan dan dilihat kurang bijak walaupun akan ada yang menganggapnya
sebagai hak dan kebebasan bersuara, namun sedemikian ia tidak sewajarnya
berlaku malah harus belajar menghormati kepimpinan Umno yang membantu membina
kerajaan Perikatan Nasional (PN).
"Saya ingin minta Muhyiddin Yassin mengambil tindakan atas
keceluparan kenyataan yang beliau keluarkan. 'Anjing salakan' ini harus faham
dan terima kenyataan penubuhan kerajaan PN ini adalah kerana sokongan Umno,
tanpa sokongan Umno tidak mungkin presiden Bersatu boleh menjadi perdana
menteri Malaysia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Muhammad Faiz melabel “Kluster Mahkamah” Umno sebagai
binatang politik yang mempergunakan ketuanan Melayu untuk kepentingan peribadi.
“Kluster Mahkamah ialah sekelompok binatang politik (biasanya
berumur) yang sudah terlalu lama menjadi warlord dalam arena politik negara.
“Mereka menjadikan wadah ‘ketuanan Melayu’ sebagai tirai untuk
melindungi ketamakkan serta kepentingan peribadi dan kelompok kecil lingkungan
mereka sahaja, hampir seperti modus operandi kartel projek yang dibanteras oleh
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini,” katanya dalam
satu kenyataa, hari ini.
Dalam pada itu, seorang lagi Ahli MT Umno, Razlan Rafii turut
menyelar kenyataan Muhammad Faiz yang menurutnya bukan saja biadab, namun cukup
keterlaluan.
Membalas kenyataan itu, Razlan mengingatkan pemimpin Bersatu itu
bahawa parti serpihan itu "kandang kepada binatang politik" yang
kehilangan tuan.
"Bagi saya ini satu kenyataan yang cukup biadab dan kurang
ajar, Muhammad Faiz ini seorang pemimpin yang tidak sedar diri.
"Sebelum mengeluarkan kenyataan biadab, dia harus sedar
bahawa kerajaan PN terbentuk dengan sokongan Umno.
"Bahkan lebih daripada itu, Bersatu juga dikuatkan dengan
bekas pemimpin Umno yang lari melompat parti selepas BN tewas, jadi Muhammad
Faiz sepatutnya sedar diri," katanya.
Menurut Razlan lagi, pemimpin kluster mahkamah itu juga yang
turut membantu menegakkan kerajaan PN.