Peguam dakwa hakim bersusah-payah ‘selamatkan’ kes terhadap Najib

 

Hakim Nazlan Ghazali didakwa memihak kepada pendakwaan oleh peguam Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah.

PUTRAJAYA: Kes pendakwaan terhadap Najib Razak dalam tuduhan rasuah RM42 juta pasti gagal sekiranya hakim perbicaraan menolak bukti ‘tidak boleh dipercayai’ oleh seorang saksi utama, kata peguam bela Najib, Muhammad Shafee Abdullah di Mahkamah Rayuan hari ini.

Shafee berkata, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebaliknya bersusah-payah menyelamatkan kes pendakwaan pada peringkat prima facie untuk memerintahkan bekas perdana menteri itu membela diri.

Beliau menuduh hakim itu bertindak seperti ‘pendakwa kedua’ bagi menyelamatkan keterangan saksi, Pengarah SRC Suboh Md Yassin.

“Jika tidak, kes pendakwaan pasti hancur,” kata Shafee ketika berhujah dalam rayuan Najib terhadap sabitan dan hukumannya.

Shafee berkata, penelitian menyeluruh bukti yang dikemukakan dalam kes pendakwaan di Mahkamah Tinggi pasti membawa kepada kesimpulan bahawa Suboh adalah saksi yang ‘tidak boleh dipercayai’ atau, lebih teruk lagi, ‘langsung tidak boleh diharapkan.’

“Tiada bukti yang boleh dipercayai untuk menunjukkan bagaimana sebenarnya dana berkaitan dengan RM42 juta itu dipindahkan dari SRC dan Gandingan Mentari Sdn Bhd ke Ihsan Perdana Sdn Bhd antara 25 Dis 2015 dan 6 Feb 2016,” katanya hari ini di depan panel tiga hakim diketuai Abdul Karim Abdul Jalil.

Shafee berkata, Suboh membuat kenyataan bercanggah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika proses siasatan, dan sewaktu menjadi saksi di mahkamah, terutama dalam soal balas.

Ketika perbicaraan yang berlangsung dari 3 April 2019 hingga 28 Julai 2020 itu, Shafee berkata Suboh mengaku memberikan keterangan bercanggah kepada penyiasat berhubung 13 tandatangannya yang digunakan dalam arahan pemindahan dana berkenaan kepada Ambank.

Suboh berkata dia pada mulanya memaklumkan pegawai SPRM yang menemuinya di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu, pada 17 Nov 2015, bahawa tandatangan dalam arahan pemindahan dana elektronik ke bank itu adalah tulen.

Bagaimanapun, ketika disoal balas Shafee dia berkata telah memaklumkan pegawai SPRM di Putrajaya pada 28 dan 30 Mei 2018 bahawa tandatangannya mungkin dipalsukan.

Suboh juga berkata dia sekali lagi memberitahu pegawai SPRM pada 13 dan 15 Ogos 2018 bahawa tandatangan berkenaan adalah tulen.

Pembelaan sebelum ini mencadangkan bekas ketua pegawai eksekutif SRC Nik Faisal Ariff mungkin menggunakan ‘photoshop’ (memanipulasi secara digital) untuk meletakkan tandatangan Suboh dalam salinan dokumen yang diimbas sebelum dihantar ke bank bagi melaksanakan arahan pemindahan dana.

Shafee turut mencadangkan bahawa Nik Faisal yang telah hilang, sebenarnya memalsukan dan menyalahgunakan tandatangan Suboh dengan menggunakannya dalam salinan cetak.

Nik Faisal dan Suboh adalah penandatangan akaun SRC yang melihat pemindahan RM50 juta ke Gandingan Mentari, iaitu anak syarikat SRC.

Mereka juga penandatangan akaun Gandingan Mentari yang melihat pemindahan RM50 juta sama kepada Ihsan Perdana, syarikat yang dipilih untuk menjalankan program tanggungjawab sosial korporat bagi SRC.

Pendakwaan mengatakan RM42 juta daripada Ihsan Perdana itu dipindahkan ke tiga akaun Ambank Najib di cawangan Jalan Raja Chulan menerusi ‘proses perlapisan’ bagi menyembunyikan sumber asalnya.

Julai lalu, Nazlan memerintahkan Najib dipenjara 12 tahun dan membayar denda RM210 juta selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram berkait dengan RM42 juta milik SRC.