Panas! Pemuda PKR kecam Syed Saddiq, terjahan terhadap Anwar mirip ‘laskar murahan PN’
Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK) Syukri Razab menyifatkan kenyataan bekas menteri Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sebagai “pramatang dan dangkal.”
Syukri merujuk dakwaan Syed Saddiq mengenai kerjasama Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang menurutnya mirip serangan ‘laskar murahan PN.’
Jelas Syukri, ini kerana Anwar telah berkali-kali menafikan kerjasama partinya bersama pemimpin kleptokrat Umno.
“AMK merasakan terjahan Syed Saddiq terhadap Anwar ini amat pramatang dan dangkal setelah Anwar berulang kali menyatakan bahawa tidak wujud sebarang usaha rasmi seperti yang didakwa.
“Secara terbuka juga presiden PKR telah menegaskan bahawa yang ada hanyalah sekadar pertemuan-pertemuan tidak rasmi bersama kepimpinan daripada pelbagai parti dalam rangka usaha Pakatan Harapan mengambil alih semula tampuk kepimpinan kerajaan daripada kerajaan pintu belakang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Terdahulu, Syed Saddiq yang juga merupakan pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menegaskan keenganan pihaknya untuk bekerjasama dengan Anwar sekiranya anggota parlimen Port Dickson itu benar-benar menjalinkan kerjasama bersama Umno.
Tambah wakil rakyat Muar itu, dia tidak akan berkompromi dalam hal-hal yang melibatkan kleptokrasi.
Sementara itu, Syukri turut mempersoalkan ‘serangan’ Syed Saddiq terhadap Anwar, dengan mendakwa ia seakan mirip gesaan yang diucapkan oleh beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN).
“Nada kenyataan Syed Saddiq ini juga sangat seiring dengan kenyataan beberapa pemimpin PN yang cuba menyerang Anwar melalui isu yang sama.
“AMK percaya ini adalah langkah terdesak untuk menggagalkan usaha Anwar membentuk semula kerajaan Pakatan Harapan (PH),” katanya dengan menasihatkan Syed Saddiq supaya tidak menjadi jurucakap PN dengan membuat dakwaan yang tidak berasas.
Selain itu, AMK juga menyindir Syed Saddiq agar kekal komited menolak sebarang kleptokrasi, merujuk kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Setelah apa yang didedahkan oleh Liew Chin Tong baru-baru ini mengenai sikap Mahathir semasa menjadi perdana menteri selama 22 bulan, tidak kedengaran suara Syed Saddiq dalam menegur atau menyerang Mahathir.
“Hanya kerana Mahathir tidak pernah didakwa oleh mana-mana mahkamah, tidak bermakna sejarah pentadbirannya yang dikotori dengan pelbagai pencabulan demokrasi boleh dipadamkan begitu sahaja,” jelasnya.
Sebelum ini, bekas setiausaha agung BN, Annuar Musa mendedahkan kesahihan surat sokongan Umno terhadap Anwar untuk dilantik sebagai perdana menteri yang ditandatangani Ahmad Zahid dan Najib.
Spekulasi mengenai kerjasama Umno-PKR itu kembali dibangkitkan setelah tular audio perbualan dua lelaki yang suara mereka mirip suara Anwar dan Ahmad Zahid.
Dalam perbualan itu antara lain mereka memperkatakan mengenai Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 dan ucapan ahli parlimen Bagan Datuk itu semasa perhimpunan berkenaan.
Kedua-dua mereka menafikan ketulenan video berkenaan namun setakat ini tiada laporan polis dibuat oleh mereka.
Isu klip audio ini juga dijangka dibincang dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno esok.