Sudah-sudahlah tu…
Saya terpanggil juga untuk memberi komen dengan posting Dr Kamarul Yusoff berkaitan bantuan 2 orang ahli politik kepada 2 orang penerima bantuan motosikal yang baru.
Posting itu telah menerbitkan pelbagai komen yang mengganggu keharmonian hubungan antara kaum mahupun melukakan kemuliaan bulan yang penuh keberkatan ini. Perbandingan cara bantuan yang diulaskan Doc seolah-olah di Malaysia ini kita tidak boleh sama sekali memberi bantuan yang menunjuk-nunjuk nak pula bantuan yang diberikan itu daripada bangsa lain terutamanya kalangan ahli politik parti Cina. Cara posting Doc ini yang menekan “Cina Kristian” telah mencetuskan rasa tidak senang hati dikalangan netizen yang turut sama memberi komen berbaur perkauman dan agama.
Ada 2 ayat yang menggunakan perkataan “Cina Kristian” membawa maksud tidak baik untuk tatapan warganet yang barangkali akan mencetuskan rasa tidak selesa antara 2 kaum yang mana 1 ayat itu membandingkan kesusahan Melayu Islam dan Cina Kristian.
Sudah-sudahlah tu Dr. Kamarul…
Posting daripada Yb Steven Sim telah diterima baik sebahagian besar warganet juga turut dipersoalkannya. Sebahagian besar komen netizen dalam perkongsian Yb Steven menunjukan sokongan dan rasa syukur kerana masih ada insan yang cakna dengan nasib malang pemandu Ehailing. Cara posting ayat syahdu Yb Steven tidak jauh bezanya dengan Ustaz Ebit Liew. Malah bantuan Ustaz Ebit merentasi garis sempadan agama bangsa mahupun sehingga keluar negara. Tetapi kita tidak pernah disajikan tohmahan daripada agama@bangsa lain terhadap bantuan Ebit Liew malahan sebilangan rakyat Malaysia menjadikannya satu dorongan untuk terlibat sama.
Untuk makluman Doc, ini bukan pertama kali bantuan yang diberikan Yb Steven, sebelum ini beliau telah membantu seorang ibu tunggal bersama anak2 yang kecil mendapatkan rumah baru setelah dihalau keluar dari rumah kerana tidak mampu membayar sewa. Posting tersebut turut mendapat perkongsian yang tinggi. Tidak lupa juga bantuan laptop yang mencecah ratusan unit yang mana ramai dikalangan penerima adalah anak Melayu Islam.
Sebagai orang Islam yang hidup dalam kalangan pelbagai bangsa dan agama di Malaysia ini, ayat Quran drpd Surah Al Hujurat, ayat 13 membawa maksud “… Kami(Allah) telah menjadikan kamu lelaki & wanita, berbangsa-bangsa, bersuku puak supaya kamu kenal mengenali antara satu sama lain dan beramah mesra…” Ayat ini juga sering dibacakan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz untuk mengaitkan suasana kehidupan harmoni rakyat Malaysia khususnya.
Kita tiada masalah untuk berbeza dalam anutan politik, tetapi janganlah sampai kita kaitkan kelakuan hidup kita dengan politik bangsa dan agama. Rakyat Malaysia sentiasa hargai segala bentuk bantuan kepada golongan yang susah terutama dalam menghadapi kepayahan hidup di musim Covid-19 ini. Saya menasihati diri saya dan sahabat warganet, “Pasakkan hati kita dengan sangkaan yang baik terhadap sesiapa sahaja supaya mata hati kita tenang melihat
“pembebasan orang yang dalam kesusahan@kesulitan”.
Allah berfirman…. “Berilah khabar gembira kepada orang2 yang sabar”
Salam Ramadhan… Salam Jumaat..
HASNUL ZULKARNAIN
ADUN Titi Serong