Menteri ‘air suam’ kecewa penurunan kes Covid-19 kepada 500 sehari pada Mei tidak berlaku

 

Menteri ‘air suam’ kecewa penurunan kes Covid-19 kepada 500 sehari pada Mei tidak berlaku


Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba tidak dapat menyembunyikan kekecewaan apabila mengakui unjuran penurunan kes positif Covid-19 pada Mei ini tidak mungkin berlaku.

Dalam nada kesal, beliau menyifatkan kegagalan masyarakat yang leka pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sebagai antara penyumbang terbesar lonjakan penularan Covid-19.

“Jika anda lihat pada rajah unjuran awal ini, ia menunjukkan graf trend menurun dan kita unjur kemungkinan dapat mencapai sekitar 500 kes baharu dalam sehari menjelang bulan depan..

“Bagaimanapun nampaknya keadaan ketika ini tidak memberangsangkan dengan ramai tidak patuh SOP dan mungkin kes positif melonjak semula,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan buku ‘Malaysia Health Sector Response To Covid-19 Pandemic: Perspective From The Field’ di sini semalam.

Adham berkata, pihaknya berharap penugasan anggota penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) mulai kelmarin akan membantu masyarakat lebih mematuhi SOP, malah kementeriannya sendiri turut menerima banyak aduan daripada orang ramai yang bimbang dengan suasana bazar Ramadan di kebanyakan negeri tidak terkawal.

“Saya berharap semua mengambil pengajaran daripada apa berlaku di Kelantan dan Sarawak yang tidak membenarkan operasi bazar Ramadan kerana kes naik mendadak,” katanya.

Menyentuh isu vaksin AstraZeneca sama ada akan digunakan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), beliau berkata, perkara itu dijangka diketahui pada minggu depan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) yang dipengerusikan beliau dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaludin yang akan meneliti semula isu tersebut.

“Secara terus terang, saya yang menandatangani perolehan vaksin ini daripada dua sumber termasuk dihasilkan di Thailand untuk keperluan 10 peratus penduduk Malaysia,” jelas beliau.

Bagaimanapun katanya, bekalan itu dijangka tiba pada Mei atau Jun dengan ada tempoh masa lagi jika JKJAV memutuskan untuk pembatalan perolehan atas faktor risiko tertentu.

Katanya, rakyat negara ini diharap tidak perlu bimbang kerana kerajaan akan membuat penilaian semula berdasarkan data dan rekod terkini dari seluruh dunia.