Banyak bukti dapat disenaraikan satu persatu kegagalan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) melawan Pandemik Covid-19. Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebagai ketua kabinet Kerajaan PN perlu memikul tanggungjawab.
Meminta Perdana Menteri beragama Islam meletak jawatan dalam bulan Ramadhan bukanlah suatu tuntutan yang molek. Serbasalah dibuatnya.
Tetapi memandangkan peperangan pun dalam sejarah Islam pernah berlaku dalam bulan Ramadhan, jadi kalau komander perang gagal, maka tuntutan komander itu berundur adalah wajar.
Sudah lebih setahun perang melawan Covid-19 dilancarkan. Usahkan menang, malahan korban kematian semakin meningkat.
Statistik setakat 18 April 2021, seramai 1,378 orang telah mati akibat Covid-19. Angka yang mati ini adalah manusia bukannya angka stastik semata-mata yang tidak bernyawa.
Jumlah kes positif Covid-19 keseluruhannya setakat semalam 18 April ialah 375,054. Kes Baharu pula melebihi 2,195 orang.
Angka-angka ini semua adalah manusia, rakyat kita, warganegara kita, bukannya data semata-mata. Bukan sahaja Menteri Kesihatan perlu bertanggungjawab tetapi keseluruhaan kabinet Kerajaan PN adalah bertanggungjawab.
Tanggungjawab kolektif para menteri itu akhirnya perlu dipikul oleh Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri.
Tidakkah Muhyiddin Yassin menyatakan baru-baru ini bahawa Proklamasi Darurat tidak kerana tujuan lain tetapi hanya untuk memerangi Covid-19?
Walaupun Darurat diisytiharkan sejak Februari lalu dan Parlimen digantung tetapi Kerajaan PN pimpinan Muhyidin Yassin tetap gagal melawan Covid-19.
Walaupun Belanjawaan Negara melebihi RM300 bilion telah diluluskan oleh Parlimen sebelum ianya digantung dan Pakej rangsangan Covid-19 lebih RM70 bilion telah disuntik, malangnya kerajaan pimpinan Muhyiddin tetap gagal melawan Covid-19.
Amerika Syarikat yang berpenduduk melebihi 200 juta manusia telah melakukan vaksinasi melebihi 50% rakyat dewasanya.
Malaysia setakat 18 April 2021 hanya baru melakukan suntikan vaksin Covid-19 seramai 1,135,015 orang dari penduduk yang hanya 32 juta orang, iaitu tak sampai 2%.
Kenapa perlahan sangat program vaksinasi di Malaysia? Apa masalahnya? Kabinet Malaysia mempunyai anggota menteri dan timbalan menteri yang ramai.
Seorang Menteri Kesihatan dibantu oleh dua orang timbalan menteri kesihatan. Ada Menteri Tugas-Tugas Khas, Ahli Parlimen Mesjid Tanah yang juga bertugas untuk melawan Covid-19.
Kemudian ada Menteri Sains dan Tekonolgi, Ahli Parlimen Rembau yang mengetuai Jawatankuasa perolehan vaksin dan program vaksinasi.
Tetapi kenapa perlahan sangat macam pergerakan siput babi dalam proses vaksinasi di Malaysia?
Duit ada, menteri ramai, tetapi kenapa terlalu sedikit rakyat mendapat suntikan vaksinasi setakat ini?
Jadi dalam perang melawan Covid-19 ini ternyata Kerajaan PN telah gagal. Kabinet Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin Yassin telah gagal.
Muhyiddin Yassin adalah komander dalam perang melawan Covid-19 ini yang setakat hari semalam, saya ulangi sekali lagi bahawa korban kematian kerana Covid-19 adalah seramai 1,378 orang di Malaysia.
Kita tidak mahu lebih ramai rakyat mati baru Perdana Menteri yang gagal mahu berhenti.
Justeri itu saya sebagai Ahli Parlimen Pasir Gudang mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatannya sekarang.
Hassan Abdul Karim
Ahli Parlimen Pasir Gudang.