KETETAPAN PORT DICKSON
9 April 2021
MENGINSAFI bahawa pandemik COVID-19 telah mendatangkan dampak
yang cukup mendalam kepada Rakyat, Ekonomi dan Negara, dan Dasar-Dasar
Perikatan Nasional jelas gagal menangani sepenuhnya;
MENYESALI bahawa Demokrasi di Malaysia telah parah akibat
malapetaka pengkhianatan dan pembelotan politik yang terkutuk sehingga
menyebabkan kepercayaan Rakyat terhadap Demokrasi itu sendiri luntur dan
terhakis;
MEYAKINI bahawa Rakyat mengharapkan suara, harapan, kegusaran
dan rintihan mereka difahami, dijuarai dan diperjuang, termasuk dalam isu
kehilangan pekerjaan dan pendapatan;
MEMAHAMI bahawa usaha memulihkan Negara terletak pada kemenangan
dalam Pilihan Raya Umum ke-15, justeru usaha menggembleng seluruh kekuatan
perlu berasaskan Prinsip dan Agenda Reformasi, manakala kelangsungan Kerajaan
bergantung kepada kestabilan dan keutuhan Politik;
MENYEDARI bahawa Pakatan Harapan adalah sebuah pakatan politik
yang dinamik, demokratik dan pragmatik yang bersedia menggalas tanggungjawab
besar memulihkan Negara;
MAKA PEMUKIMAN PIMPINAN Pakatan Harapan di Port Dickson pada 8
dan 9 April 2021 memutuskan bahawa:
1) Pengerusi Pakatan Harapan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengetuai
kempen Pilihan Raya Umum ke-15 dan seterusnya diangkat sebagai calon Perdana
Menteri Malaysia;
2) Kami mendesak Perdana Menteri untuk segera menasihati Seri
Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen dan
senafas dengan itu menamatkan Darurat;
3) Kami mengulangi ikrar, tekad dan iltizam untuk terus
memperkukuh Pakatan Harapan dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 dan
seterusnya memaparkan upaya untuk mentadbir dan memerintah Negara dengan
amanah, demokratik dan adil;
4) Kami mengiktiraf potensi dan kepentingan Wilayah Sabah dan
Sarawak sebagai enjin pertumbuhan ekonomi yang baharu dalam memacu pembangunan
negara, dengan jaminan pengagihan sumber yang lebih saksama, seiring dengan
sinergi pembangunan ibukota baharu Indonesia di Kalimantan;
5) Kami akan menggerakkan semua wakil rakyat dan pimpinan negeri
untuk memerah seluruh potensi dan keupayaan bagi menangani isu-isu dasar
berkait pemulihan Ekonomi dan kesejahteraan Rakyat. Kami juga akan meneruskan
proses libat urus bersama semua pemegang taruh untuk membentuk manifesto
Pakatan Harapan;
6) Kami mengambil pendirian yang terbuka untuk berunding dan
bekerjasama dengan mana-mana pihak, berdasarkan Prinsip dan Agenda Reformasi
demi kepentingan Rakyat; dan
7) Kami akan memulakan siri jelajah ke negeri-negeri untuk
memberikan penerangan kepada Rakyat berkait pendirian dan tawaran Pakatan
Harapan menyentuh isu Ekonomi Rakyat, Kestabilan Politik dan Krisis Pandemik
COVID-19.
-tamat-