PETALING JAYA: Sebuah kumpulan pemikir dasar awam menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, bahawa kerajaan kehabisan wang selepas membelanjakan RM340 bilion untuk pakej rangsangan ekonomi dan RM322 bilion untuk Belanjawan 2021 sebagai “tidak berasas dan mengelirukan”.
Badan Penyelidikan untuk Kemajuan Sosial (REFSA) berkata, kenyataan itu menyalahtafsirkan istilah “perbelanjaan kerajaan”, dan memperbesar-besarkan beban fiskal terhadap tabungan negara.
Penyelidik, Jaideep Singh, berkata pengeluaran RM40 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga bukan rangsangan fiskal, kerana ia berasal daripada simpanan pencarum sendiri.
“Untuk langkah makro-kewangan lain, sokongan biasanya datang daripada Bank Negara, yang tidak bergantung kepada wang kerajaan dan oleh itu tidak memberi kesan secara langsung terhadap defisit fiskal negara,” katanya dalam kenyataan.
Jaideep berkata, Kementerian Kewangan sendiri mengakui hanya sekitar RM72.6 bilion, atau 21.4%, daripada jumlah keseluruhan RM340 bilion adalah berbentuk perbelanjaan langsung kerajaan melalui suntikan fiskal.
“Angka ini meliputi belanja kesihatan, pemindahan tunai, Program Subsidi Upah dan perbelanjaan infrastruktur, yang semuanya ditanggung oleh perbelanjaan kerajaan.”
Katanya, jumlah perbelanjaan kerajaan sebenarnya setakat ini cenderung lebih rendah daripada RM72.6 bilion yang diumumkan sebelumnya oleh Kementerian Kewangan, kerana tidak semua suntikan fiskal akan segera dimasukkan.
“Terdapat selang masa antara pengumuman langkah dasar fiskal dan akhirnya pengeluaran dana,” katanya.
Beliau berkata, baki RM267.4 bilion merangkumi pelbagai langkah dasar strategi, operasi dan kewangan termasuk pelanjutan moratorium pinjaman, pengecualian cukai, jaminan pinjaman dan skim pembiayaan.
“Sebahagiannya, seperti pelepasan cukai, tidak memiliki nilai perakaunan langsung selain daripada peluang untuk membatalkan cukai, yang berkemungkinan besar akan diabaikan sektor yang terjejas.”
Beliau berpendapat, perbelanjaan yang lebih tinggi disebabkan langkah rangsangan bukan sesuatu yang tidak pernah terjadi, sambil merujuk Belanjawan pada 2009 yang mengalami defisit fiskal 6.7% di tengah-tengah krisis kewangan.
Jaideep berkata, ini bukan masa untuk membuat dakwaan yang membimbangkan, sambil menambah negara sudah boleh berharap kepada peningkatan pendapatan kerajaan melebihi ramalan Belanjawan 2021, dengan kenaikan harga minyak baru-baru ini.
Pakej Pemerkasa yang baharu dilancarkan juga menunjukkan kerajaan masih mempunyai ruang fiskal untuk memperkenalkan suntikan baru yang besar, katanya.
“Akhirnya, jalan keluar dari penguncupan yang disebabkan oleh pandemik adalah dengan menerapkan langkah-langkah pengembangan dasar fiskal yang lebih terarah dan strategik untuk mempromosikan penggunaan dan menarik pelaburan sektor swasta, bukan dengan membuat dakwaan tidak berasas mengenai situasi fiskal kerajaan.”