Kadar hutang isi rumah tinggi, mengapa Bank Negara masih membuat unjuran positif?

 





posted by AMIR WRLR


Unjuran positif tinjauan fiskal Bank Negara Malaysia dan nisbah pendapatan isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahap yang sangat tinggi baru-baru ini merupakan sesuatu yang kontradik dalam ekonomi negara.

Menurut Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak boleh lagi menyembunyikan masalah ekonomi dan membiarkan rakyat melakukan pinjaman demi pinjaman untuk menampung kehidupan.

"Adalah sesuatu yang membimbangkan tatkala membaca unjuran positif yang dibuat Bank Negara terkait tinjauan fiskal tahun mendatang dalam keadaan kita akhiri tahun 2020 dengan nisbah pendapatan isi rumah kepada KDNK sebanyak 93.3%.

"Angka lama sebanyak 87.5% yang ditetapkan pada bulan Jun 2020 juga sudah keterlaluan tinggi dan berada di tahap yang cukup memprihatinkan.

"Sebilangan besar hutang ini merupakan hutang pinjaman perumahan dan kenderaan, dan ini adalah kesan langsung dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan. Hutang kad kredit juga mencanak naik dan berada di tahap yang merungsingkan.

"Rakyat tidak ada banyak pilihan dalam mendepani masalah ini selain akan mengheret mereka membuat pinjaman baharu, lantas meletakkan mereka dalam beban hutang yang berpanjangan," kata Anwar dalam satu kenyataan.

Menurut Presiden KEADILAN itu lagi, kerajaan PN seharusnya melaksanakan beberapa syor badan ekonomi dunia seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang menyarankan Malaysia bergerak ke arah kebijakan baharu untuk menangani masalah kesenjangan kerana beban kewangan saat ini memberi dampak yang cukup parah kepada warga miskin dan tersisih.

Katanya, pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu memanggil pakar-pakar ekonomi bagi memikirkan strategi meringankan beban kewangan rakyat sebelum terlambat.

"Masalah hutang ini sekiranya tidak ditangani dengan baik akan tambah melambatkan fasa pemulihan ekonomi pada tahun ini. Malah, untuk beberapa tahun akan datang juga, sekiranya kerajaan yang ada pada hari ini tidak berbuat apa-apa.

"Perdana Menteri mesti segera mengarahkan tim ekonominya untuk fikirkan strategi yang baharu dalam meringankan beban rakyat, melebihi kepentingan para kroni dan cukong," katanya lagi.

Di samping itu, Anwar mengingatkan secara tradisi dalam sistem demokrasi Malaysia, pemimpin yang tidak ada keyakinan dan mandat dari rakyat akan segera meletakkan jawatan.

Katanya, pemimpin berwibawa tidak akan terus berada dipuncak kuasa dengan memalukan diri memikul pelbagai kelemahan.