JUDI – KENAPA SUARA PAS BERBEZA BILA SUDAH JADI KERAJAAN?


 Selama ini, Pas selalu menampakkan mereka adalah parti yang paling kuat menentang judi.

Semua judi, tidak setakat haram, bahkan mahu diharamkan terus operasinya oleh Pas.

Sebagai parti yang mendakwa memperjuangkan Islam, perkara itu memang sesuatu yang wajar, malah cukup mulia.

Ketika berada sebagai pembangkang, Pas bukan saja bercakap dan membangkitkan penentangan terhadap judi di Parlimen dan Dun serta di pentas-pentas ceramah, malah sehingga ke mimbar khutbah di masjid-masjid di mana saja mereka ada peluang berbuat demikian.

Video Player
00:00
05:40

Seolah-olah gambarannya, apabila Pas ditakdirkan ada kuasa, maka bersihlah negara ini daripada segala bentuk perjudian.


Tetapi, sejak berada di dalam kerajaan bersama PN, suara Pas berkaitan judi nampaknya kian tenggelam dan menghilang.

Di mana sekarang suara-suara Pas mahu mengharamkan semua bentuk judi, kasino genting dan segala macam judi berlesen dan tidak berlesen yang sering mereka ucapkan di ceramah-ceramah sebelum ini?

Bukankah ketika sudah berada dalam kerajaan ketika ini ia merupakan masa paling sesuai untuk Pas, selain terus bersuara, bahkan menggesa kerajaan yang mereka sendiri adalah sebahagiannya agar judi diharamkan sama sekali?

Yang lebih buruk, di samping suara mengharamkan judi tidak lagi kedengaran, jumlah cabutan khas judi yang bertambah daripada 8 kepada 22 setahun di era PN ini pun ternampak Pas tidak mampu lagi berbuat apa-apa.

Apakah Pas dan para pemimpinnya tidak takut lagi kepada Tuhan sebagaimana mereka menjunjung tinggi perintah Tuhan sewaktu jadi pembangkang dulu?

Ketika baru-baru ini heboh mengenai isu promosi judi dalam iklan Hari Raya, yang digesa dan dibantah pun hanyalah tentang mengiklankan judi dalam talian yang dianggap tidak wajar dan menghina umat Islam saja.

Kenapa tiada desakan daripada Pas agar judi dalam talian itu sendiri diharamkan terus atau disekat oleh kerajaan sebagaimana sekatan dilakukan terhadap laman-laman lucah?

Kalau berkaitan SugarBook, bukan main lagi Pas menentang agar iklan promosi dan laman web itu diharamkan, tetapi kenapa dalam isu judi dalam talian, tiada gesaan lantang agar kerajaan menyekatnya sama?

Apa sudah jadi dengan Pas?

Apakah sebagaimana manusia biasanya jadi malas dan asyik nak tertidur bila kekenyangan, Pas juga jadi sedemikian setelah kenyang dengan jawatan dan kedudukan dalam kerajaan PN sekarang? 


(Shahbudindotcom 21/04/2021)