Isu gaji siswazah: Bekerja dengan gaji rendah sama teruk dengan tak kerja langsung – Steven Sim

 

Pada 

Oleh Aziera NH

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim menyelar kenyataan dua orang menteri Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhubung isu gaji siswazah sebelum ini.

Beliau menegaskan, bekerja dengan gaji yang serendah RM1,000 adalah sama teruk dengan tidak bekerja langsung kepada anak muda.

“Anak muda berasa kecewa dengan dua orang menteri Kerajaan Persekutuan yang gagal memahami cabaran ekonomi rakyat,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Beliau merujuk kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed baru-baru ini yang dilaporkan sebagai berkata bahawa siswazah patut bersyukur sekiranya mendapat kerja walaupun bergaji rendah.

Selain itu, Steven juga merujuk kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan yang dilaporkan sebagai menyuruh siswazah menerima gaji rendah daripada menjadi penganggur.

Steven berkata, berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, majoriti siswazah yang memasuki pasaran pekerjaan pada 2020 menerima anggaran gaji bulanan antara RM1,001 hingga RM1,500 berbanding RM2,001 hingga RM2,500 pada 2019.

“Dalam kata lain, gaji permulaan siswazah telah mengalami penurunan sehingga 50 peratus.

“Jabatan Perangkaan juga melaporkan bahawa kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran, yakni siswazah yang terpaksa menjadi pekerja berkemahiran rendah, meningkat dari purata 32.7% (1Q2017 – 4Q2029) kepada 36.8 peratus pada suku ketiga 2020.

“Semua ini bermaksud, masalah guna tenaga tidak penuh sangat parah terutama di kalangan anak muda,” katanya.

Menurut Steven, menteri-menteri dari PN seakan-akan menafikan fakta bahawa kedua-dua isu pengangguran dan guna tenaga tidak penuh dianggap sebagai faktor negatif ekonomi.

“Menteri-menteri PN yang bergaji tinggi nampaknya melepas tangan mengabaikan kepentingan pekerja terutamanya anak muda dalam isu ini.

“Adakah mereka sedar bahawa tindakan tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja memberi kesan buruk kepada anak muda bahkan ekonomi negara kita sekarang sehingga 10 tahun yang akan datang?’ soalnya.

Steven turut mempersoalkan nasib inisiatif MalaysiaKerja yang dicadangkan oleh Kerajaan Pakatan Harapan dalam belanjawan 2020 yang memberikan subsidi kepada pekerja dan majikan bagi mewujudkan pekerjaan dengan gaji yang setimpal untuk anak muda.