Masalah gaji permulaan graduan yang rendah tidak boleh
dipersalahkan kepada pandemik Covid 19 dan kurangnya peluang pekerjaan
sebagaimana dijadikan dalih oleh sesetengah pihak hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, data
menunjukkan masalah tersebut telah pun berlaku sejak beberapa tahun sebelumnya
dan menjadi buruk pada 2020.
Katanya, kajian yang dibuat pada tahun lalu menunjukkan purata
gaji yang diterima oleh graduan kali pertama memasuki pasaran kerja adalah
RM1,001 - RM1,500 dan ia merosot berbanding tahun 2019.
"Kadar pengangguran ketika pandemik untuk segmen anak muda
juga naik mendadak. Cuma, kita perlu menyedari masalah gaji rendah dan
pengangguran tidak berlaku semata-mata kerana pandemik.
"Ia telah berlaku sebelum kedatangan Covid-19, dan ia adalah
masalah sistemik yang kita perlu segera diatasi," katanya dalam satu
kenyataan.
Menurut Jurucakap Parlimen KEADILAN bagi Pendidikan itu lagi,
sebagai perbandingan di antara tahun 2014 hingga 2019, kebanyakan graduan menerima
gaji di antara RM2,001 - RM2,500 dan data dari Kementerian Pengajian Tinggi
(KPT) menunjukkan pada tahun 2015, kebanyakan mereka menerima gaji dari RM3,001
hingga RM5,000, angka tertinggi sejak 10 tahun.
Namun katanya, pada 2020, penerima gaji dalam segmen RM1,001
hingga RM1,500 telah menjadi segmen yang terbesar.
"Ia adalah isu serius, kita tidak boleh meminta para graduan
bersyukur untuk menafikan kewujudan masalah ini.
"Dengan peningkatan kos sara hidup, kadar permulaan gaji yang
baik merupakan hal penting. Walaupun kita masih jauh daripada mencapai gaji
wajar yang disarankan beberapa badan kajian seperti Bank Negara dan Khazanah
Research Institute, kita sepatutnya berusaha untuk memberikan gaji bermaruah
kepada graduan.
"Mereka telah melalui proses pendidikan formal yang panjang,
dan kebanyakan mereka keluar dengan hutang pendidikan. Mereka baru sahaja
memulakan kehidupan dewasa, ia proses yang memerlukan seseorang itu mempunyai
gaji yang bermaruah," katanya.
Nik Nazmi mengingatkan, bahawa ketika berkuasa Pakatan Harapan
telah meningkatkan gaji minima kepada RM1,200 sebulan di 57 bandar utama.
Menurutnya, hal itu merupakan penggubalan dasar yang penting untuk
memastikan para pekerja di bandar-bandar utama mampu 'bernafas'. Itupun, kata
Nik Nazmi, pihak tauke-tauke besar termasuk Persekutuan Majikan Malaysia (MEF)
menentang keras kenaikan RM50 sebulan berkenaan.
"Dalam hal ini pula (gaji yang menurun) kita perlu mengadakan
perbincangan yang serius untuk mengatasi masalah dan tempat yang paling sesuai
adalah di Parlimen.
"Sehingga hari ini, Majlis Perkejaan Negara yang diumumkan
dalam Belanjawan 2021 seperti tidak diketahui kewujudannya dan sama-sekali
tidak berfungsi," kata Nik Nazmi kesal.
Mengenai tinjauan kebolehpasaran graduan pula, beliau mengharapkan
pihak Kementerian Pendidikan Tinggi memberikan data yang tulen agar masalah
graduan boleh diperhalusi dengan setelus-telusnya.
"Setiap tahun, KPT akan melakukan tinjauan kebolehpasaran
graduan.
"Kita perlu pastikan tinjauan ini berlaku dengan adil dan
disemak imbang. Ia untuk memastikan tidak ada institusi pengajian tinggi yang
memberikan data secara 'kreatif' untuk memperlihatkan imej yang baik terhadap
institusi dan graduan mereka.
"Tanpa data yang telus, kita tidak mampu mengukur dengan
tepat tahap kebolehpasaran dan masalah gaji para graduan," katanya lagi.
Sehubungan itu, Nik Nazmi mahu anak muda diberikan gaji yang
bersesuaian. Dengan gaji yang lebih baik ia akan meningkatkan produktiviti dan
merangsang ekonomi negara.