Filem arahan Mamat Khalid yang sedang ditayang menerusi platform Astro First dilihat sempat menyelitkan sindiran tajam terhadap orang politik.
18 Puasa Di Kampong Pisang dengan penampilan Bell Ngasri sebagai Barkoba bukan sahaja mengisahkan perangai orang yang tidak berpuasa bahkan penyelewengan sebahagian ahli politik.
Dalam filem yang meraih kutipan lebih RM1 juta hanya dalam tempoh tiga hari sejak ditayangkan 15 April lalu itu, ramai orang politik disebutkan beratur di pintu neraka.
Digelar sebagai “kluster orang politik”, 18 Puasa turut menyindir kru produksi atau orang filem sebagai golongan yang juga ramai dihumban ke dalam api neraka.
Dialog tersebut muncul ketika watak syaitan bernama Tyson 1 lakonan Nam Ron menjawab panggilan telefon pembantunya dari neraka:
“Depan pintu ramai orang beratur. Kluster orang politik. Kluster orang filem.”
Kemudian ada dialog yang di’mute’kan bertanyakan siapa yang turut beratur masuk neraka:
“…. ada?”
Lantas, pembantunya menjawab sebelum mereka kemudiannya ketawa berdekah-dekah:
“Saya letak dia paling bawah! (dalam neraka)”.
Walau bagaimanapun, tidak pasti adakah nama yang ‘disenyapkan’ itu merujuk kepada kluster politik atau filem.
Untuk kluster orang politik lagi, penonton diberitahu sebab bekas wakil rakyat Kampong Pisang itu diseksa di neraka:
“Dia ambil tanah wakaf. Dia tukarkan kepada tanah komersial. Lepas tu jual jadi jirat Cina!” cerita Tyson 2 lakonan Jaafar Onn.
Dalam pada itu, individu yang dipanggil ‘YB’ (Yang Berhormat) itu dalam loghat Perak sempat pula menjawab dengan nada seperti menyesal:
“Awok (Saya) silap. Awok dengo cakap oghang ghomah (isteri).”
18 Puasa Di Kampong Pisang mengisahkan sekumpulan penduduk Kampong Pisang masih melakukan perkara-perkara yang ditegah pada bulan Ramadan.
Akibat insiden kepala dihempap durian, Barkoba dibawa Tyson kembali ke masa silam untuk mengimbau setiap tindak tanduk kesalahan yang dilakukan sepanjang hidupnya.
Barkoba yang kemudiannya tampil membantu sekali gus jatuh cinta kepada Kiambang lakonan Siti Elizad Sharifuddin dinobatkan sebagai ahli tertinggi neraka dengan tujuh pangkat kejahatan.
Pelbagai bentuk kemungkaran dilakukan Barkoba selain tidak berpuasa. Antaranya, tidak mengeluarkan zakat, menganiaya orang lain, tidak jujur menjual juadah berbuka puasa, berjudi di kawasan surau ketika solat tarawih dan enggan menolong orang lain yang benar-benar memerlukan.
Filem komedi itu turut dibintangi Kazar Saisi, Joey Daud, Afea Deana, Man Raja Lawak, Aziz M Osman, Dewa Sapri, Ahmad Yasin, Rashid Othman, Mat London, Yeop Hitler dan ramai lagi.
Penampilan khas Ustaz Kazim Elias dan Abdul Rani Kulup juga memeriahkan lagi filem terbitan Astro Shaw dan produksi Enjit-Enjit Semut ini. – MD