Fakta: Aktiviti perjudian semakin rancak zaman kerajaan PN

 


Fakta: Aktiviti perjudian semakin rancak zaman kerajaan PN

1. Parti Amanah Negara (Amanah) Wilayah Persekutuan kesal dan mengecam dua klip video yang tular di media-media sosial yang mempromosi judi atas talian dengan nama GDBett333 dan IBC003. Video berdurasi sekitar 2 minit itu memaparkan beberapa orang remaja yang dipercayai berbangsa Melayu dan beragama Islam dalam suasana Hari Raya dan turut sama mempromosikan judi online secara terbuka kepada orang ramai.

2. Video tersebut jelas merupakan satu penghinaan ke atas umat Islam di negara ini terutama di saat umat Islam baru mula menjalani ibadat puasa di bulan Ramadan yang mulia. Ia telah mencemarkan kesucian bulan Ramadan, menimbulkan kegusaran awam di samping tidak menghiraukan langsung sensitiviti umat Islam di negara ini.

3. Penyiaran video yang mempromosikan judi online secara terbuka ini bukan sahaja biadap dan tidak bermoral, malah ia dengan jelas melanggar peruntukan undang-undang negara khususnya di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan boleh juga dianggap sebagai satu hasutan kepada orang awam khususnya umat Islam untuk terlibat dalam perjudian atas talian ini.

4. Amanah WP telahpun membuat laporan polis di IPD Sentul pada hari Sabtu 17/4/2021 bagi membolehkan pihak polis menyiasat secara terperinci semua pihak yang terlibat dalam penghasilan video tersebut dari penerbit, pengarah, pelakon-pelakon dan syarikat perjudian yang mempromosikan judi online tersebut dan seterusnya mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas mereka yang bertanggungjawab dalam menghasil dan menyiarkan kepada umum video yang sangat memalukan ini.

5. Amanah WP juga menggesa supaya pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak dengan tegas dan segera bagi menyekat penularan video ini yang masih lagi tersebar dengan berleluasa di media-media sosial.

6. Adalah sesuatu yang amat malang kepada umat Islam di negara ini di saat Kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerintah yang kononnya berteraskan Melayu-Islam di mana PAS ada di dalamnya, aktiviti-aktiviti maksiat dan perjudian semakin rancak berleluasa dan promosinya dibuat dengan sangat berani secara terbuka kepada orang ramai. Selepas jumlah cabutan khas dinaikkan kepada 22 kali oleh Kerajaan PN, kini syarikat-syarikat judi tanpa segan silu pula mempromosi iklan judi mereka secara terbuka di media-media sosial. Dengan kebebasan yang ada ini, tidak mustahil selepas ini kegiatan-kegiatan maksiat dan pelacuran pun boleh dipromosi secara terbuka di media-media sosial untuk tatapan rakyat Malaysia.

7. Kerajaan PN benar-benar telah gagal bukan sahaja mengurus ekonomi, politik dan kesihatan rakyat negara ini, malah isu-isu moral serta sensitiviti agama dan bangsa juga turut gagal diurus dengan cara yang lebih bertamadun. Maka sudah wajar sangatlah ia diturunkan dalam piliharaya yang akan datang bagi mengelakkan kerosakan yang lebih parah kepada seluruh rakyat Malaysia.

AHMAD ZAMRI BIN ASA’AD KHUZAIMI
Naib Pengerusi
Parti Amanah Negara Wilayah Persekutuan
17 April 2021