KUALA LUMPUR: Aktivis dan pereka grafik Fahmi Reza dibebaskan daripada tahanan reman, selepas ditahan sejak petang Jumaat.
Peguamnya, Rajsurian Pillai, memberitahu FMT, Fahmi keluar dari Balai Polis Dang Wangi pada 5.55 petang hari ini.
Tambahnya, polis telah merekodkan kenyataan Fahmi dan mengambil cap jarinya sebagai sebahagian siasatan.
“Fahmi kini bebas dengan jaminan polis,” kata Rajsurian. Selain Rajsurian, peguam Yohendra Nadarajan turut mewakili Fahmi.
Terdahulu hari ini, Mahkamah Majistret hanya membenarkan polis mereman Fahmi selama sehari bagi siasatan hasutan berhubung “playlist” Spotify yang dikatakan mempersendakan Raja Permaisuri Agong berhubung kenyataan baginda di Instagram.
Polis pada mulanya meminta perintah reman empat hari.
Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah mengongsikan di akaunnya mengenai memasak hidangan popular tempatan seperti bubur lambuk, roti john dan cucur jagung di dapur istana.
Susulan itu, seorang pengikut kemudian menyoal sama ada tukang masak istana turut disuntik vaksin Covid-19, yang dijawab baginda, “Dengki ke?”
Jawapan itu pantas menjadi popular di Twitter dengan ramai pengguna turut menggunakannya sebagai tanda pagar.
Fahmi membuat pelbagai “playlist” di Spotify dengan tajuk “This is dengki ke?” yang memaparkan gambar Permaisuri Agong.
“Playlist” berkenaan kemudian diturunkan Spotify, menyebabkan artis itu berpindah menggunakan Apple Music.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari membuat laporan polis terhadap Fahmi kerana mendakwanya menghina Permaisuri Agong.
Ini bukan kali pertama Fahmi dibelenggu kontroversi. Pada 2016 dia didakwa mengikut undang-undang multimedia kerana karikatur badut menyerupai perdana menteri ketika itu, Najib Razak.