ECRL 3.0: Kerajaan PN 'pembuli besar', anaktirikan Negeri Sembilan

 


Exco Negeri Pakatan Harapan (PH) menempelak tindakan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong yang tetap mahu melaksanakan projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) menggunakan jajaran utara seperti yang pernah dicadangkan ketika zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Exco Selangor, Teng Chang Khim berkata, kerajaan bertindak seperti "pembuli besar" dan menegaskan kerajaan negeri tidak akan membantu perolehan tanah untuk projek tersebut.

“Selangor tidak akan melakukan perolehan tanah untuk kerajaan persekutuan jika ia bertegas mahukan Jajaran Utara untuk ECRL era BN itu.

"Kerajaan persekutuan bertindak seperti pembuli besar kerana membuat keputusan berat sebelah setelah gagal meyakinkan kerajaan negeri mengenai cadangan Jajaran Utara," katanya.

Lagipun, Chang Khim yang juga exco pelaburan, perindustrian dan perdagangan, perusahaan kecil dan sederhana itu berkata Selangor telah pun menyelesaikan "kerja-kerja awal" perolehan tanah untuk Jajaran Selatan ECRL.

Justeru, beliau menganggap tindakan memperkenalkan ECRL 3.0 itu sebagai buang masa.

"Desakan terhadap Jajaran Utara dan tindakan tergesa-gesa kementerian tidak dapat dijustifikasikan dan jelas mencurigakan," katanya.

Exco kesejahteraan bandar, perumahan, kerajaan tempatan dan kampung baru Negeri Sembilan, Teo Kok Seong pula menganggap tindakan Ka Siong itu secara tidak langsung menganaktirikan negeri itu.

Ini kerana, katanya, Jajaran Utara tidak melalui Negeri Sembilan tidak seperti Jajaran Selatan sebelum ini yang melintasi negeri itu.

"Langkah untuk kembali ke jajaran ECRL yang asal sebagaimana yang diusulkan oleh pentadbiran BN itu bermaksud projek ini mengecualikan Negeri Sembilan.

"Ini tindakan diskriminasi terhadap orang Negeri Sembilan. Pengumuman ini meletakkan perbezaan politik melebihi kepentingan nasional,” katanya.

Justeru, beliau mendesak supaya kerajaan mempertimbangkan semula keputusan projek ECRL tersebut.