BERSAMA BN, UMNO BERKUASA 60 TAHUN, KALAU BERSAMA PH, TIDAK MUSTAHIL MAMPU BERTAHAN 120 TAHUN


 Tulisan ini ditujukan khusus untuk pemimpin, ahli dan orang-orang UMNO di seluruh negara.

Ia bukan untuk menghasut atau meracun minda, tetapi agar mereka berfikiran lebih terbuka, tidak jumud serta menyedari bahawa dalam politik, yang penting adalah kuasa.

Waima bagi parti yang melaungkan Islam siang malam pun, kuasa lebih mereka kejar akhirnya berbanding pahala.

Kalau bukan kerana mengejar kuasa, mana mungkin Pas sanggup bekerjasama dan berada dalam kerajaan bersama golongan yang diketahui umum sebagai pengkhianat dan penjual kerusi.

Dan kalau bukan kuasa yang ingin dipertahankan, tidak mungkin Pas sekarang jadi begitu taksub kepada Mahiaddin Md Yasin serta sanggup menyertai gabungan PN sehingga lupa kepada UMNO yang telah ditunanginya dalam MN.

Untuk itu, dalam keadaan UMNO sudah kalah pada PRU14 lalu dan sekarang ini ingin kembali berkuasa semula, parti itu mestilah sedia berubah sambil sanggup bertolak ansur dalam beberapa perkara.

UMNO tidak boleh lagi terkepung dengan norma lama seperti ketika jadi kerajaan sebelum ini kerana kekalahan pada 2018 lalu sebenarnya menuntut UMNO lebih sedar diri dengan perubahan serta sedia untuk menyesuaikan diri.

Sementara dunia sudah banyak berubah, pemikiran rakyat berubah, kehendak dan keinginan manusia juga berubah, jika UMNO enggan berubah, maka ia tidak mampu ke mana-mana, bahkan lebih mungkin terus rebah.

Menyedari UMNO kini telah ditinggalkan oleh ramai rakannya sendiri dalam BN, malah yang ada bersamanya sekarang pun sudah berani melawan dan tidak lagi menghormatinya, parti itu harus pantas mencari rakan kongsi baru.


Buat apa kekal jumud dengan pendirian “No Anwar No DAP” jika akhirnya UMNO tidak mampu menang pilihanraya, walhal yang diutama dan dikejar dalam perjuangan sebagai parti politik ialah kuasa, kuasa dan kuasa?

Lagi pun, selain Pas yang sekarang begitu menentang Anwar dan DAP, parti itu lebih dulu berpeluk dan bermesra dengan PH ketika gabungan itu dikenali PR sebelum ini.

Begitu juga dengan Annuar Musa yang sering meratib “No Anwar No DAP” sekarang, sebelum ini beliau juga pernah menzahirkan sanjungan kepada Presiden PKR itu sebagai pemimpin yang diyakini dapat menyelamatkan negara.

Hanya kerana sudah dapat boss baru iaitu Mahiaddin yang memberinya jawatan dan untuk memastikan kedudukan sebagai menteri itu kekal, itulah sebab pendirian beliau berubah kepada menyokong PN mati-matian sambil paling kuat meratib “No Anwar No DAP” dalam kumat-kamit sehariannya.

Dalam keadaan di mana UMNO paling dominan di kawasan Melayu, manakala PH khususnya PKR dan DAP lebih diterima di kawasan campuran, separa bandar dan bandar, bekerjasama antara keduanya adalah pilihan paling terbaik sekali bagi parti Melayu itu.

Realiti harus diterima bahawa masyarakat Cina kini majoritinya adalah bersama DAP, manakala PKR yang menunjangi PH lebih diterima di kawasan campuran, separa bandar dan di kalangan generasi muda serta golongan pertengahan.

Jadi, apa lagi pilihan yang ada bagi UMNO dalam keadaan MCA dan MIC semakin diketepikan oleh kaum Cina dan India sendiri?

Meskipun banyak pandangan yang menyetujui tidak mustahil UMNO bekerjasama dengan PH, termasuk daripada Tengku Razaleigh Hamzah, Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO dan beberapa pimpinannya yang lain, sebaik-baiknya persefahaman harus dipersetujui sebelum berlangsungnya PRU15 agar kemenangan di kawasan-kawasan yang kritikal dapat dijamin.

Jika kerjasama hanya ditargetkan selepas PRU15 tanpa ada persefahaman di kerusi-kerusi tertentu,adalah dibimbangi timbul banyak kekeliruan dan akhirnya apa yang dimatlamatkan tidak akan tercapai dengan jayanya.

Satu lagi perkara yang UMNO harus lebih terbuka ialah berkaitan kerusi Perdana Menteri dan memang benar ketika bersama BN, selamanya kerusi itu merupakan milik UMNO.

Tetapi, apabila bekerjasama dengan PH, situasinya sudah jadi berbeza, mungkin ia perlu disepakati untuk dipegang oleh PH dahulu, kemudian baru UMNO, diduduki secara bergilir atau seumpamanya.

Yang penting, dalam apa keadaan pun, kerjasama UMNO dengan PH adalah berbeza dan ia jauh lebih baik serta lebih menjamin kestabilan berbanding bersama PN.

Bersama PH, kemungkinan UMNO ditikam, dikhianati dan dibuli sebagaimana dilakukan oleh Bersatu terhadapnya dalam PN adalah sangat minima kerana semua parti mempunyai pasaran pengundi yang berbeza.

Semua parti hanya perlu mengukuhkan kerjasama dan menjaga pasaran masing-masing, selebihnya berkaitan pembahagian kerusi atau jawatan, proses perbincangan dan muafakat adalah cara penyelesaiannya.

Dalam perkiraan kerjasama ini, soal realistiknya tidak sukar untuk difahami, asalkan sedia membuang sikap jumud, terbuka dan berfikir untuk jangka panjang.

Sekiranya selepas kerjasama dijayakan, diikuti dengan proses penerangan atau penjelasan secara tersusun dilakukan sehingga ke akar umbi, tidak ada sebab ia tidak boleh diterima dan difahami.

Dalam hal ini, jika bersama Perikatan dan BN, UMNO dapat berkuasa selama lebih 60 tahun, tetapi bersama PN, tidak sampai setahun sudah berantakan, sebaliknya dengan pilihan bekerjasama bersama PH, jangankan 60 tahun mendatang kuasa mampu dipertahankan, malah sehingga 120 tahun pun tidak mustahil kuasa itu mampu dikejap erat.

Pilihan kini di tangan Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO untuk memulakannya dan kiranya kesepakatan bekerjasama dengan PH ini berjaya dimulakan di era kepimpinannya, beliau pasti akan dikenang akhirnya dalam lipatan sejarah sebagai pencetus pembaharuan dan dinamika baru yang lebih baik dan terjamin bagi UMNO.

Rakaman audio yang bocor beberapa hari lalu – kiranya ia tulen dan memang betul perbualan beliau dan Anwar – tidak mustahil adalah pembuka pintu kepada arah baru itu. 


(Shahbudindotcom 11/04/2021)