Batal bazar Ramadan, Aidilfitri: Kerajaan Kelantan lemah, buat keputusan mengejut...kerja nak kencing saja......

 


Keputusan Kerajaan Negeri Kelantan membatalkan bazar Ramadan dan Aidilfitri dua hari sebelum umat Islam mengerjakan ibadah puasa menimbulkan kemarahan dalam kalangan peniaga di negeri itu.

Biarpun Kerajaan Negeri telah mengumumkan sedikit pampasan akan diberikan kepada peniaga terjejas, namun masih banyak yang tidak berpuas hati memandangkan pelbagai persiapan telah dilakukan oleh mereka.

Bagi Ketua Cabang Kota Bharu, Zinda Khalil Sastro Hassan, Kerajaan Pas Kelantan sepatutnya membuat keputusan lebih awal mengenai pembatalan bazar agar peniaga tidak mengalami kerugian besar seperti dialami sekarang.

"Gempar sehari dua ini Kerajaan Negeri umum last minute pembatalan semua bazar Ramadan.

"Ini saya tengok tindakan yang kurang bijak sebab Kerajaan Negeri dilihat hanya pandai buat undang-undang (peraturan) sahaja.

"Contohnya, hari ini dia tengok Covid 19 naik, terus dia sekat bazar Ramadan. Sedangkan persiapan para peniaga sudah habis wang beribu-ribu ringgit menyediakan perlengkapan.

"Jadi ramai peniaga terutama di stadium (Kota Bharu) yang tidak puas hati sampai ada yang kata 'tidak halal modal yang dikeluarkan, tidak halal Kerajaan Negeri (menghilangkan modal)'. Sampai begitu sekali marahnya," kata Zinda kepada Suara Keadilan.


Peniaga mengeluh keputusan batal bazar Ramadan

Menurut mantan Ketua Penerangan KEADILAN Kelantan itu lagi, Kerajaan Negeri sepatutnya memikirkan untuk mengenakan Prosedur Standard Operasi (SOP) yang lebih ketat ke atas bazar Ramadan, bukan membatalkannya.

Atau pun kata beliau, dilakukan sebagaimana di Selangor, Kerajaan Negeri menyediakan portal perniagaan atas talian seperti disediakan Selangor tahun lalu ketika Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 yang menutup keseluruhan tapak perniagaan.

"Kalau kita tengok keadaan hari ini ekonomi kritikal, lembab. Peniaga kecil baru nak mula berniaga. Biasanya ketika Ramadan rezeki peniaga bertambah, ketika ini juga ramai yang mencari wang tambahan.

"Bila buat begini nampak kerajaan tidak cerdik, tidak menyediakan satu pelan tindakan. Contoh kalau dibatalkan saat terakhir apa langkah untuk bantu usahawan yang 'hilang' modal. Inilah yang saya kecewa sangat dengan kerajaan Kelantan

"Walaupun slogan membangun bersama Islam tetapi tidak nampak tindakan ke arah Islam. Patut fikirkan kaedah bagaimana nak jalankan bazar Ramadan dengan SOP yang ketat. Tetapi saat akhir batalkan, ramai peniaga kecil teraniaya," katanya lagi.

Laporan berita baru-baru ini memaparkan rintihan para peniaga kecil yang tidak puas hati penutupan bazar Ramadan.

Seorang peniaga, Azhar Zaki berkata, pembatalan saat akhir itu amat menyusahkan para peniaga dan rakyat seluruhnya.

"Kita sudah buat pelbagai persiapan, barang dapur barang basah semua dah dibeli, kerana Ramadan bakal tiba dua hari lagi, tiba-tiba hari ini Kerajaan Kelantan umum batal bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, siapa tak marah?

"Banyak modal dah keluar, beli barang dapur, beli khemah, bayar tapak niaga bazar, bayar elaun pekerja, bayar lesen niaga, pendek kata banyak dah modal keluar, boleh pula kerajaan buat keputusan saat akhir, memang kita marah," katanya dipetik Malaysiadateline.