APAKAH MAHIADDIN TIKA INI SEDANG DISERONOKKAN DENGAN KAJIAN TIPU-TIPU, SAMA SEPERTI NAJIB DULU?


 Realiti yang nyata dan nampak di depan mata, Mahiaddin Md Yasin ketika ini adalah Perdana Menteri paling tidak popular dan sangat dibenci.

Di media sosial, luahan kebencian dan rasa tidak puas hati itu cukup ketara dan tidak perlu dianalisa lagi untuk memahaminya, termasuk laman sosial Mahiaddin sendiri.

Pejuang maya yang menyokongnya yang sebelum ini sangat akif, sekarang ini ternampak ramai yang sudah menyepikan diri, suatu gambaran mereka sendiri sudah letih dan tidak mampu lagi melawan hujah-.hujah yang mahu menjatuhkan Perdana Menteri itu.

Di khalayak ramai pula, selain kehadirannya seperti tidak dipeduli, tidak terkecuali ada yang sampai menjerit-jerit kepadanya.

Kehadirannya di bazar ramadan Putrajaya dua hari lalu jelas memperlihatkan hakikat itu.

Di kedai kopi dan cafe sembang-sembang, jika tiba-tiba topik perbualan terkait dengan Mahiaddin, rata-rata akan kedengaran suara yang mengutuk dan mencebik bibir berbanding memujinya..

Ahli perniagaan, profesional dan golongan pertengahan dalam masyarakat boleh dikata semakin hilang kepercayaan kepada Mahiaddin dalam memgurus negara dan membina ekonomi demi kehidupan yang lebih baik.

Kaum ibu dan suri rumah yang sebelum ini ternampak ada yang memujinya kerana dilihat pandai membaca doa, sekarang ini tidak kedengaran lagi pujian mereka itu.


Rata-rata ianya diganti dengan keluhan yang mengecam Mahiaddin kerana amat berkira berkaitan pengeluaran KWSP dan moratorium pinjaman bank.

Selain itu, beberapa kajian bebas, termasuk yang diterajui oleh mereka dengan dekat dengan Bersatu sendiri, jelas memperlihatkan wujud gambaran ketidakyakinan dan ketidaktentuan sokongan rakyat terhadapnya.

Dari segi mood rakyat pula, tidak kira kategori dan kelompok mana, yang ternampak jelas ialah rata-rata ingin menghumbankannya daripada puncak kuasa dengan seberapa segera berbanding ingin terus mengekalkannya.

Bermula dengan pengkhianatan, keabsahan diragui, menangguh dan menggantung Parlimen, mengisytiharkan darurat yang ditanggapi lebih bersifat politik, PKP yang separuh masak dan seperti main-main, penguatkuasaan SOP yang berpilih antara rakyat biasa dengan orang kayangan, pembaziran dengan kabinet besar, lantikan duta dan GLC, kepimpinan sebagai nakhoda yang lemah, cakap tak serupa bikin dengan bermain politik ketika darurat dan PKP serta banyak keraguan lain, semuanya adalah antara asas yang menyebabkan Mahiaddin hampir tidak dikehendaki lagi memimpin negara ini.

Kecuali bagi kelompok pengampu dan mereka yang mendapat nikmat jawatan daripadanya, selain daripada itu memang mereka tidak sabar lagi mahu menjatuhkannya.

Tetapi, di celah-celah semua ketidakyakinan dan ketidakpuasan hati itu, muncul satu dua kajian yang masih meletakkan Mahiaddin sebagai Perdana Menteri paling popular sekali.

Digambarkan, bukan setakat paling popular, malah diberi keyakinan PN yang dipimpinnya akan terus menang dalam PRU akan datang.

Tidak cukup dengan itu, ada juga kajian yang mengatakan, meskipun tanpa kerjasama dengan UMNO dan pertandingan dalam PRU15 akan datang adalah tiga penjuru – PN, BN dan PH – Mahiaddin diletakkan masih mampu memunculkan PN dengan kejayaan yang cemerlang, seterusnya akan terus kekal berkuasa lagi.

Selain ada yang membuat kajian itu diketahui dekat dengan parti politik tertentu yang bersama PN, terdapat juga universiti turut membuat kajian serta dapatan yang sama.

Apakah mereka yang membuat kajian itu tidak melihat apa yang ada di depan mata?

Apakah tujuan mereka hanya ingin menyeronokkan Mahiaddin dengan kajian tipu-tipu yang hasil akhirnya adalah palsu?

Dalam hal ini, selain difahami yang membuat kajian itu barangkali ada matlamat atau tujuan tertentu yang mereka saja mengetahuinya, di pihak Mahiaddin sendiri, tidakkah beliau belajar daripada apa yang berlaku kepada Najib Razak dahulu?

Ketika itu, di sebalik semua orang faham kedudukan Najib begitu ditolak dan ramai ingin melihatnya jatuh, terutama kerana karenah isterinya, Rosmah Mansor serta skandal 1MDB, banyak juga pihak yang tampil membuat kajian mengatakan dirinya masih popular serta akan terus memenangi pilihanraya.

Namun, lihatlah apa yang jadi kemudiannya.

Apakah Mahiaddin sekarang sedang diulit rasa seronok yang sama dengan Najib dahulu berkaitan kajian demi kajian tipu-tipu itu? 


(Shahbudindotcom 16/04/2021)