Anwar Ibrahim Tetap Tabah Ketika Dipenjarakan

 




Oleh: Onn Abu Bakar

Sepanjang Anwar Ibrahim dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh dari tahun 1998 hingga tahun 2004, penulis berkesempatan beberapa kali berkunjung melawat beliau. Dalam salah satu kesempatan tersebut penulis telah melawat beliau bersama dengan Ustaz Hashim Yahya, Mufti Wilayah Persekutuan pada ketika itu.

Hashim Yahya telah berkata kepada penulis, "Kalau orang lain sudah pasti mereka tak mampu bertahan seperti Anwar Ibrahim!" ujar bekas Mufti Wilayah Persekutuan, allahyarham Ustaz Dato' Hashim Yahya!

Inilah ungkapan bila beliau dapat bersemuka dengan Anwar Ibrahim di luar pintu surau Penjara Sungai Buloh sekitar Februari 1999.

Sebelum penulis menulis lagi, penulis ingin memaklumkan bahawa Hashim Yahya terlalu gembira bila penulis hubungi beliau yang pada minggu hadapan beliau akan menunaikan solat Jumaat di Penjara Sungai Buloh di mana beliau ditugaskan sebagai khatib dan imam solat Jumaat.

Kegembiraan tersebut dinyatakan bila beliau memaklumkan kepada penulis bahawa baru semalam beliau melakukan solat hajat untuk berjumpa Anwar Ibrahim.

Dan hari ini penulis pula menghubungi beliau bahawa minggu hadapan akan bersama menemui Anwar Ibrahim. Dengan kegembiraan Hashim Yahya dengan suara tersekat-sekat menyatakan Allah telah memakbulkan doanya.

Kami telah diiringi oleh pegawai penjara sewaktu berjalan ke arah surau berkenaan dan kami juga diberitahu Anwar Ibrahim belum tiba lagi. Sebaik saja kami sampai beliau naik tangga surau berkenaan.

Penulis sempat juga melihat jam di tangan menunjukkan kurang 15min untuk masuk waktu solat Jumaat. Tidak lama kemudian Anwar Ibrahim pun sampai. Lantas Hashim Yahya memeluk erat sahabat lamanya di depan anak tangga surau. Sempat seminit dua mereka bertanya khabar.

Ketika sedang kami berbual tiba-tiba ada seorang banduan berbangsa Bangladesh menyapa Anwar Ibrahim dengan sopan dan memberikan hadiah songkok buatannya sendiri untuk kegunaan Anwar Ibrahim.

Anwar Ibrahim segera memakai songkok berkenaan di hadapan kami dan mengucapkan terima kasih kepada banduan berkenaan kerana bersusah payah menbuatkan songkok untuknya. Tetapi banduan berbangsa Bangladesh ini perasan bahawa songkok yang dibuatnya agak kecil sedikit saiznya apabila Anwar Ibrahim mencubanya.

Belum sempat Anwar Ibrahim berkata2 sesuatu, banduan berkenaan terus menyatakan dia akan buat satu lagi songkok yang lebih besar sedikit untuk Anwar Ibrahim. Anwar Ibrahim tersenyum bila mendengar janji banduan tersebut.

Peristiwa ini ditonton oleh ramai banduan yang telah mula masuk naik ke surau untuk bersemabahyang Jumaat. Hampir semua banduan begitu hormat dengan Anwar Ibrahim, ada yang bersalaman dan ada yang menyapanya dengan wajah yang amat ceria.

Bila kami semua masuk dan duduk ke dalam surau sambil menunggu azan, suasana di dalam surau waktu itu agak tenang.Penulis dan Hashim Yahya duduk di saf yang pertama manakala Anwar Ibrahim pula duduk di saf yang ke tiga.

Bila penulis menoleh ke belakang beberapa orang banduan kelihatan bersalam dengan Anwar Ibrahim sambil kedengaran memaklumkan dengan perlahan pada Anwar Ibrahim, "Dato Seri, saya reformasi!"

Jelas di sini bagaimana banduan-banduan itu tahu apa itu sedangkan mereka semua berada lama dalam penjara.

Kami berdua pulang setelah selesai solat Jumaat dan penulis sempat melihat linangan air mata pada Hashim Yahya sebaik saja beliau memeluk dan bersalaman perpisahan dengan Anwar Ibrahim.

Penulis juga melihat Anwar Ibrahim agak tenang dalam suasana sedih tersebut. Beliau juga sempat berkata sesuatu kepada Hashim Yahya.

Sosok badan Anwar Ibrahim sewaktu kami berjumpa beliau agak kurus namun seperti biasa wajah beliau tetap tenang dan cekal.

Difahamkan solat Jumaat di Penjara Sungai Buloh tersebut telah terus diadakan sehingga kini sejak Anwar Ibrahim menulis surat kepada Pengarah Penjara menggesa supaya diadakan solat Jumaat sewaktu beliau awal-awal berada di penjara tersebut.

Dan sepanjang kami berjalan keluar dari bangunan penjara tersebut, Hashim Yahya terus menyatakan dengan sedih "Kalau orang lain sudah pasti mereka tidak mampu bertahan seperti Anwar Ibrahim".

FB: En

Onn Abu Bakar