KENYATAAN MEDIA - 21 April 2021
Malaysia sekali lagi dimalukan di peringkat antarabangsa dalam aspek demokrasi tatkala rekod negara kita merudum 18 anak tangga ke 119 dari 180 negara, menurut Indeks Tahunan Kebebasan Akhbar yang dijalankan oleh Reporters Without Borders’ (RSF). RSF mengaitkan penurunan ini dengan tindakan dan sikap kerajaan PN.
Kemenangan bersejarah Pakatan Harapan pada Pilihanraya Umum Ke-14 yang lalu telah diakui oleh RSF sebagai penanda aras bahawa aspek kebebasan media akan bertambah baik setelah rekod buruk di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional.
Rekod dan pencapaian terbaik Malaysia adalah naik ke tangga 101 menurut laporan RSF tahun 2020 kesan dari agenda reformasi selama 2 tahun.
Kembalinya pemerintahan kuku besi bersama dengan pendakwaan serta pelanggaran hukum dan etika kewartawanan menjadi antara sikap kerajaan PN yang terus mencemari reputasi kebebasan media di negara ini.
RSF juga menyebut bahawa Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) hanya bertindak sebagai lidah propaganda kerajaan, serta Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terus menjadi senjata ampuh kerajaan untuk membungkam wartawan dan menjadi batu penghalang dalam menghidup serta menyemarakkan kebebasan media.
Terkini, langkah dan tindakan agresif kerajaan yang berpangkal dari Pengisytiharan Darurat pada bulan Januari 2021 yang lalu nampaknya akan terus memburukkan rekod kita pada tahun 2021. Situasi ini sangat membingungkan tatkala kita tahu bahawa fungsi Darurat adalah untuk meningkat keupayaan negara dalam melawan penularan COVID-19. Namun, nampaknya ia tidak membantu malah gagal dalam mengurus dan mengemudi.
Aspek kebebasan dan media yang terbuka adalah ciri penting mana-mana sistem demokrasi, termasuk kita. Pelecehan terhadap aspek ini tidak hanya mengukuhkan pandangan jelek kita terhadap kerajaan PN, malah ia akan menekan serta menginjak mandat dan suara rakyat.
Tindakan dan sikap sebegini hanya akan menjatuhkan prospek Malaysia di peringkat antarabangsa, malah akan memberi kesan yang buruk pada usaha kita dalam memulihkan ekonomi yang saat ini sangat parah. Bakal pelabur dan rakan strategik dalam pelbagai sektor perniagaan mungkin akan memilih negara lain ketimbang Malaysia.
ANWAR IBRAHIM