PETALING JAYA: Selepas satu kemalangan tragis yang mengakibatkan beliau lumpuh dari pinggang ke bawah, Bathmavathi Krishnan mencari cara alternatif bagi membolehkan melakukan tugas seharian, dengan aktiviti memandu menjadi tumpuan.
Beliau mendapat pekerjaan di perpustakaan Universiti Malaya setelah menamatkan pengajian pada 1978, tetapi terpaksa mencari cara lain untuk ke tempat kerja kerana tidak lagi boleh tinggal di kolej kediaman.
“Saya hadiri temu duga dengan kerusi roda, dan mereka tanya bagaimana saya hendak datang ke tempat kerja,” katanya.
“Saya pernah tengok filem ‘Coming Home’, di mana lelaki ini memandu kereta dengan kawalan tangan. Jadi, saya beritahu mereka, saya akan dapatkan sebuah kereta untuk diubah suai dan memandunya ke tempat kerja.”
Walaupun kenderaan sebegitu wujud di Amerika Syarikat,namun masih belum ada sepertinya di Malaysia; sedangkan bas masih belum mempunyai kemudahan untuk kerusi roda.
Bathma menghubungi beberapa syarikat kereta dengan harapan seseorang boleh menjadi “MacGyver” dan mencipta sesuatu yang dapat dipandunya.
Akhirnya, seorang jurutera bernama Paul David dari Tan Chong Motors menyahut cabaran itu dan membina sebuah sistem yang membolehkan Bathma memandu menggunakan tuas yang dapat dikendalikannya dengan tangan.
Sebuah Datsun 120Y yang dilengkapkan dengan sistem itu menjadi kenderaan pertama seumpamanya di negara ini.
“Kemudian saya perlu mendapat kelulusan daripada Jabatan Pengangkutan Jalan. Seorang jurutera datang (untuk melihatnya) dan beliau melihat saya menggunakan kawalan tangan dan isyarat, bagaimana saya melalui bulatan, membuat hentian kecemasan, dan lain-lain.
“Minggu berikutnya, beliau memberitahu saya, ‘tangan kamu akan menjadi letih dan kamu akan membahayakan orang lain di atas jalan.’
“Saya kata kepada beliau,’pemikiran encik sangat tertutup, di tempat lain di dunia kereta sebegini sudah dipandu orang’,” kata Bathma.
Kesal tetapi tidak berputus asa, Bathma berjaya bertemu dengan timbalan menteri pengangkutan ketika itu, Goh Cheng Teik, dan menerangkan keperluannya untuk mendapat kelulusan bagi kenderaan tersebut.
“(Goh) melihatnya, dan beberapa minggu kemudian, (kereta itu) mendapat kelulusan, tetapi terdapat klausa yang menyatakan saya hanya boleh memandu di KL dan PJ, dan hanya boleh mencapai kelajuan 60km/j,” kata Bathma.
Beliau berpendapat bahawa had yang ditetapkan itu tidak masuk akal – tiada banyak perbezaan antara memandu di KL dan di tempat lain di negara ini, maupun dunia.
Walaupun menghadkan kelajuan pemanduannya adalah sepatutnya demi keselamatan di jalan raya, langkah tidak membenarkan beliau memandu lebih daripada 60km/j akan menyusahkan pemandu lain.
Sekatan-sekatan itu akhirnya dihapuskan pada 1983, tetapi penungguan yang begitu lama membuka mata Bathma berhubung cabaran yang bakal dilaluinya.
“Persepsi orang terhadap sesuatu yang baharu memang susah diubah, terutamanya dalam kalangan mereka yang berkuasa.
“Kadang-kadang, kita lihat pegawai pergi ke luar negara dan melaporkan begitu banyak yang berlaku di sana, tetapi mereka tidak sedar benda sama boleh diaplikasi di negara kita,” kata beliau.
Sehingga ke hari ini, Bathma menggunakan sistem yang sama dari dahulu. Walaupun sudah wujud versi baharu di Malaysia yang memudahkan penukaran di antara kenderaan, beliau tidak berasa ada keperluan untuk mengubahnya.
“Mungkin ia ‘kuno’, tapi saya sangat selesa dengannya,” kata beliau.
Bathma tetap komited memperjuangkan isu orang kurang upaya (OKU) dan menjadi presiden persatuan wanita kurang upaya.
Beliau berkhidmat sebagai senator mewakili OKU selama dua penggal apabila dilantik pada 2013.