UMNO ROSAK KERANA BERSATU ?

 


Selepas kalah pada PRU14 lalu dan dalam tempoh 22 bulan berikutnya di mana UMNO menjadi pembangkang, parti itu boleh dikata berada di landasan yang betul untuk bangkit berkuasa semula.

Dalam beberapa PRK yang diadakan, calon-calon UMNO berjaya menang dengan bergaya.

Dan disertai kerjasama dengan Pas, aura kebangkitan UMNO hampir tidak mampu ditahan lagi.

Akar umbi UMNO juga bersatu hati dengan pemimpin di atas dengan kesatuan hati untuk bangkit semula menebus kekalahan lalu.

Mereka yang bergelar pemimpin pula ternampak menjiwai kedudukan mereka sebagai pemimpin yang rebah dengan watak berjiwa rakyat, selain kerap terpapar bercampur gaul dengan golongan bawahan serta rakyat marhaen.

Realitinya, ketika UMNO bergelar pembangkang, ahli akar umbi terlihat begitu gembira dengan watak pemimpin mereka yang selalu berada di bawah, kerap tersenyum dan banyak memperjuangkan isu-isu rakyat.

Pantang ada isu, pemimpin UMNO yang sudah rebah itulah yang selalu tampil ke depan bersuara.

Tetapi, segalanya berubah sebaik UMNO memilih berada dalam kerajaan bermula 1 Mac 2020.

Sejak itu juga terdengar banyak rungutan daripada akar umbi parti tentang watak dan kelakuan pemimpin yang sudah berubah setelah mereka bergelar menteri, timbalan menteri dan sebagainya.

Mereka mula diceceh dan dirunguti kerana tidak lagi berkelakuan seperti tidak beroleh jawatan sebelum ini.

Tidak cukup dengan itu, diperkatakan juga mereka yang menjadi pegawai menteri turut sama berubah dan merak kelakuannya.

Agaknya, setelah lapar selama 22 bulan dan tiba-tiba beroleh jawatan, mereka jadi tak ketahuan dengan persekitaran seolah-olah semua orang yang cuba mendekati dianggap mahu mendapatkan sama makanan yang ada dalam dulang mereka.

Ketika berkuasa selama 60 tahun sebelum ini, tidak pernah atau jarang sekali terdengar rungutan seperti itu.

Hari ini, UMNO bukan saja berbeza dengan UMNO sebelum ini, malah keadaan berantakannya seperti tidak terkawal lagi.

Dengan berada di dalam kerajaan yang dikuasai Bersatu, pelbagai kluster turut muncul dalam UMNO.

Kalau dulu, paling tidak hanya ada Team A dan Team B, kini lebih daripada dua kluster sudah ada.

Semua kluster ini ada kepala dan perangai yang tersendiri serta saling berlaga antara satu sama lain.

Yang jelas, beradanya UMNO dalam kerajaan PN bersama Bersatu sekarang adalah suatu kesilapan, merugikan serta merosakkan kelangsungan masa depannya.

Lebih daripada itu, jika sebelum ini UMNO dan Pas berganding elok dalam MN dan terlihat sebagai gabungan kuasa yang bakal merubah negara, kini segala-galanya hampir berkecai jadinya.

Pas yang menjadi tunangan UMNO dalam MN dengan mudah dapat dirampas oleh Bersatu untuk mereka setuju bersatu hati dalam mahligai PN yang ada segala kemewahan.

Benarlah ingatan orang tua-tua, kuasa dan kedudukan boleh menukar warna cinta.

Jika tidak berada kerajaan PN, pasti semua yang berlaku sekarang tidak berlaku kepada UMNO.

Sebagaimana kuasa menjadikan Pas beralih arah, kuasa yang ada dalam genggaman Bersatu juga berupaya menjadikannya UMNO berpecah-pecah.

Menuju PRU akan datang, dengan perpecahan dan kemelut yang ada dalam UMNO sekarang, ia dijangka akan terus berpanjangan lagi tanpa dipastikan bila kesudahannya.

Harapan untuk merebut kembali kuasa dan jawatan Perdana Menteri, mungkin ada dan mungkin sudah tinggal angan-angan saja.

Hakikatnya, UMNO kini lebih sibuk mengurus perpecahannya daripada menumpukan perhatian untuk merebut kuasa, bahkan lebih buruk kerana ada kluster di dalamnya yang lebih menyanjung Bersatu daripada parti sendiri.


 (Shahbudindotcom 22/03/2021)