Umno-PH formula kemenangan, tetapi bukan tanpa perangkap, kata penganalisis

 

Bekas menteri Zaid Ibrahim mengemukakan idea ‘perkahwinan’ antara Umno dan Pakatan Harapan yang mirip formula kemenangan PH pada 2018.

PETALING JAYA: Dua penganalisis politik melihat Umno dan Pakatan Harapan (PH) sebagai saling melengkapi sekiranya mereka bergabung pada pilihan raya umum akan datang (PRU15), tetapi mereka diingatkan bahawa menjaga keseimbangan dan ketertiban mungkin menjadi satu cabaran.

Idea itu dilontarkan di media sosial semalam oleh bekas menteri Zaid Ibrahim, yang berkata “perkahwinan” itu meniru formula kemenangan PH pada 2018 ketika gabungan itu diterajui PPBM pimpinan Dr Mahathir Mohamad, yang menonjolkan kepemimpinan Melayu.

Tunku Mohar Mokhtar daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, ini akan menjadi satu “penyelesaian pragmatik” bagi kedua-dua kumpulan, memandangkan baik pembangkang mahupun kerajaan tidak berkemungkinan dapat menguasai majoriti yang kukuh dalam pilihan raya.

“Oleh itu, penjajaran baru mungkin jalannya,” katanya.

“PH memerlukan tokoh Melayu yang kuat. Barisan Nasional (yang dianggotai Umno) juga memerlukan perwakilan bukan Melayu yang signifikan.

“Gabungan keduanya nampaknya seperti satu formula kemenangan, paling tidak, di atas kertas.”

Tunku Mohar berkata langkah itu akan menyelesaikan keperluan mendesak mereka – kekurangan ketokohan Melayu yang kuat dalam PH dan rasa tidak puas hati Umno terhadap PPBM.

“Yang tinggal kini adalah kedua-dua pihak perlu mencari titik persamaan yang dapat mempermudah pembentukan jajaran politik atau gabungan baharu,” kata beliau.

Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura pula berkata, sementara langkah seperti itu akan membolehkan gabungan baharu merangkumi segala isu dalam kalangan demografik pengundi, “mereka harus secara dalaman meyakinkan para pengkritik parti masing-masing, yang secara ideologinya bagai langit dengan bumi, untuk bekerjasama”.

Kata beliau, akan ada cabaran besar yang harus dihadapi oleh PH dan Umno sekiranya hal ini terjadi kerana terdapat risiko sejarah akan berulang.

Oh berkata, pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim berisiko menyerahkan kedudukannya dan berakhir dalam situasi yang serupa dengan apa yang dihadapinya bersama Mahathir.

“Ini kerana Umno dilihat cenderung untuk memenangi lebih banyak kerusi berbanding PKR dan pemimpin Umno dilihat lebih cenderung menjadi PM, bukannya Anwar.

“Pemimpin seperti itu akan cuba menghalang Anwar, seperti yang dilakukan oleh Dr Mahathir,” kata beliau.

Beliau berkata, hal itu mungkin menjadi isu berdasarkan pengalaman Umno bawah pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Pengajaran yang sukar ditelan Umno ketika ini, iaitu dengan Muhyiddin sebagai pemimpin dari parti yang lebih kecil menguasai dengan menjadi perdana menteri, akan menguatkan tekadnya untuk tidak lagi mengalah dalam gabungan pemerintah,” kata beliau.