POSTED BY AMIR WRLR
Keputusan
perwakilan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) semalam menyokong saranan
presiden Datuk Seri Zahid Hamidi agar parti itu bertanding secara solo, dan
melupakan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15
mewajarkan pertimbangan yang lebih rasional bagi menjamin kemenangan.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, formula kemenangan Umno selepas memutuskan hubungan dengan Bersatu adalah merintis kerjasama dengan blok pembangkang.
"Jika Umno mahu jadi parti di blok kerajaan selepas PRU 15 maka mulai sekarang Umno perlu bina kerjasama dengan KEADILAN, DAP dan Amanah iaitu Pakatan Harapan (PH), sebelum PRU15.
"Jika tidak, Umno akan menjadi parti yang lebih mengecil pengaruh dan kekuatanya jika bertandingan secara solo dengan jenama BN yang telah ditolak rakyat dalam PRU 14," katanya kepada Suara Keadilan.
Bagaimanapun, Hassan memuji keputusan Zahid dan perwakilan yang berani menamatkan kerjasama dengan parti pemerintah dan ketua PN, Bersatu.
Katanya, Bersatu hanya gah kerana Perdana Menteri (PM) disandang oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, sedangkan parti itu tiada akar umbi yang mantap.
"Keputusan Zahid itu logik dan munasabah.
"Dari segi kekuatan parti, Umno lebih kuat daripada Bersatu. Bersatu kuat sekarang kerana jawatan PM dipegang oleh Muhyiddin , Presiden Bersatu.
"Kuasa incumbency jawatan PM itu amat besar. Tetapi bila Parlimen bubar, Bersatu akan sedar dia tiada sokongan akar umbi," katanya.
Untuk langkah selanjutnya, Hassan menyeru agar Umno memikirkan pelan kerjasama di atas beberapa common policies dengan PH yang boleh meyakinkan rakyat.
"Antara polisi itu ialah ekonomi yang inklusif untuk rakyat dan pembangunan negara
"Agenda negara pelbagai kaum dan agama, di mana jaminan keadilan untuk semua selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Rukunegara
"Juga reformsi dalam struktur asas negara yang menjamin kebebasan kehakiman, Parlimen, dan agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Suruhanjaya Pilihan Raya, Polis Diraja Malaysia dan lain lain," katanya lagi.
Semalam, perwakilan PAU bersetuju untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu dan Umno akan bertanding secara solo pada PRU 15 sekiranya Pas mahu bersama Perikatan Nasional.
"BN telah memutuskan akan menghadapi PRU15 secara bersendirian. Biar saya jelaskan, once and for all, untuk Umno menjadi dominan semula selepas PRU15, pertamanya kita mesti menang kerusi terbanyak.
"Kedua, BN perlu menentukan parti mana yang benar-benar ikhlas dan jujur untuk membentuk kerajaan bersama kita," kata Zahid dalam ucapan dasar PAU di PWTC, Kuala Lumpur.