Cadangan
menteri kabinet Perikatan Nasional dari Pas, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman
Razali bahawa kerajaan akan meminda sempadan kawasan pilihan raya untuk
kepentingan kaum Melayu sekiranya menperolehi majoriti 2/3 kerusi Parlimen
berpotensi menjerumuskan Malaysia ke dalam krisis demokrasi yang parah.
Bagi
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Akmal Nasir dan Setiausaha AMK
Malaysia, Syukri Razab, percubaan mengubah sempadan pilihan raya berdasarkan
sesuatu kaum begitu membimbangkan dan mengancam sistem demokrasi sedia ada yang
diamalkan.
"Bibit
manipulasi itu ketara dengan kenyataan Menteri Kabinet Dr. Mohd Khairuddin
merangkap Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang mencadangkan agar
persempadanan kawasan pilihan raya dilaksanakan sekiranya memenangi majoriti
2/3 pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti. Kononnya ini demi memberi keuntungan
kepada Melayu-Islam.
"Ini
merupakan kenyataan politik yang sama sekali tidak mencerminkan tujuan sebenar
persempadanan semula diadakan. Istilah kononnya ini menguntungkan Melayu-Islam
hanyalah sekadar dakyah politik untuk mengaburi mata rakyat kerana hakikatnya
ia adalah gerrymandering bagi memberikan keuntungan politik kepada Pas
dan sekutu mereka," kata mereka dalam satu kenyataan.
Menurut
mereka, kali terakhir Dewan Rakyat meluluskan persempadanan semula kawasan
pilihan raya pada 28 Mac 2018 dan mengikut Perkara 113(2)(ii) Perlembagaan
Persekutuan.
Manakala,
kata mereka, lat tempoh mestilah tidak kurang daripada lapan tahun antara
tarikh siapnya satu kajian semula, maka persempadanan semula kawasan pilihan
raya hanya boleh diadakan pada tahun 2026.
"Jika
diteliti hujah Khairuddin, agak mendukacitakan apabila Pas yang suatu ketika
dulu begitu lantang membantah gerrymandering yang jelas mempunyai agenda
menguntungkan kerajaan semasa serta bertentangan dengan prinsip keadilan,
begitu cepat berubah apabila memperoleh kuasa dan kini mencadangkan perkara
sama.
"Sudah
pasti ini merobek harapan rakyat untuk melihat suatu sistem demokrasi yang
telus dan adil di Malaysia selepas ianya dicabuli melalui pengkhianatan
terhadap mandat rakyat sewaktu Langkah Sheraton yang lalu," kata mereka
lagi.
Oleh
itu, kata mereka AMK Malaysia menggesa sebarang usaha gerrymandering dihentikan
dan menyeru Perikatan Nasional terlebih dahulu menyelesaikan isu Undi18 serta
menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan
Agong yang membenarkan Parlimen bersidang walaupun dalam waktu darurat.