Oleh B. Suffian
Malaysia perlu bergerak ke hadapan meninggalkan politik kebencian, penipuan, fitnah, dan momokan, tegas Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang.
Veteran DAP itu berkata, perkara-perkara terbabit adalah bertentangan dengan ajaran agama-agama utama dan kebudayaan di seluruh dunia yang telah menjadikan Malaysia sebagai rumah mereka.
Menurutnya, perkara tersebut juga menjadi sebab mengapa visi bapa kemerdekaan Tunku Abdul Rahman supaya Malaysia menjadi ‘obor cahaya dalam dunia yang kelam dan terganggu’, gagal untuk direalisasikan.
“Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara telah menetapkan asas untuk membina sebuah negara bangsa Malaysia yang bersatu-padu dan hebat, dan cabaran yang dihadapi kita sekarang adalah sama ada kita mampu untuk berjaya dalam usaha pembinaan negara bangsa ini.
“Ini dilakukan dengan menyatupadukan pelbagai kaum, agama, bahasa, dan budaya yang bertemu di Malaysia untuk menjadi satu model masyarakat majmuk yang bersatu, bertoleransi, berjaya, progresif, dan makmur dalam dunia yang kompleks,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kit Siang berkata, kebelakangan ini, terdapat kecenderungan di Malaysia di mana politik dicemari dengan politik toksik dan keji yang berasaskan kebencian, penipuan, fitnah, dan momokan.
Beliau menjelaskan, daripada membina toleransi, kepercayaan, dan keyakinan dalam kalangan masyarakat majmuk pelbagai kaum, agama, bahasa, dan budaya di Malaysia, terdapat pula cubaan untuk menanamkan sifat syak wasangka dan kebencian untuk meracuni usaha pembinaan negara bangsa di negara ini.
Ujarnya, beliau sendiri telah menjadi salah seorang watak yang paling teruk difitnah dalam setengah abad yang lepas.
Walaupun keputusan PRU-14 pada 9 Mei 2018 menjadi satu kekalahan dan sekatan terhadap politik kebencian, penipuan, fitnah, dan momokan terbabit, ujarnya, penyedia politik toksik dan jijik tersebut bekerja dengan lebih keras malah meningkatkan kempen mereka selepas 2018.
“Cabaran terbesar kita dalam Malaysia Baharu adalah bagaimana untuk mendekati golongan orang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban yang masing-masing hanya hidup dalam busa kehidupan masing-masing sahaja…
“…dan untuk berkongsi dengan mereka satu gambaran dan perspektif Malaysia yang lebih luas — untuk berkongsi cita-cita yang negara Malaysia yang tercinta ini milik kita semua dan kita mempunyai satu takdir yang dikongsi bersama,” katanya.
Ujar beliau, rakyat Malaysia mempunyai pelbagai identiti — etnik, keagamaan, bahasa, budaya tetapi semuanya berkongsi satu identiti utama sebagai rakyat Malaysia.
Tambahnya, tidak ada sesiapa pun yang meminta mana-mana rakyat Malaysia untuk melupakan identiti etnik atau keagamaan masing-masing, baik seorang Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban, atau Muslim, Buddha, Kristian, Hindu, Sikh, Tao, tetapi semua orang perlulah pertamanya rakyat Malaysia.
“Inilah Impian Malaysia kita,” katanya.