Team khas untuk tumbang Pas Kelantan


RENCANA KHAS

 




Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menggelarkan Pas sebagai parti pelacur politik. Gelaran itu diberi memandangkan sikap dan tindak tanduk parti berkenaan yang tidak ada prinsip dan maruah dengan mengadakan kerjasama politik dengan sesiapa sahaja.

Gelaran dibuat Tengku Razaleigh itu tentu melihat kepada realiti yang berlaku. Satu masa parti itu menentang Umno dan kini menerima Umno sebagai pakatan politik yang strategik. Begitu juga satu masa parti itu bermusuhan dengan DAP, kemudian berpakat kemudian bermusuh balik. Malahan dari semua aspek politik Pas meletakkan DAP sebagai pendosa. 

Sikap tidak istiqamah Pas itu menyebabkan Tengku Razaleigh menggelar Pas sebagai pelacur politik. Lebih sadis dari itu beliau minta agar dilawan (dikalahkan) dalam Piraum ke-15 kelak. 

Ahli Parlimen itu mempunyai bukti dan tawarikh panjang dalam mengenali hati budi munafik Pas serta sifat-sifat jijiknya. Beliau adalah antara tokoh politik yang cukup arif dengan telatah dan cara Pas berpolitik. Beliau terlibat sendiri baik ketika melawan dan berkawan dengan Pas. 

Tahun 1990 beliau pernah berkerjasama dengan Pas ketika memimpin Parti Semangat Melayu 46, mewujudkan Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Hasil kerjasama itulah membolehkan Pas memerintah semula Kelantan setelah kerajaannya dirampas Umno dalam Piraum 1978.

Antara dimeterai dalam kerjasama itu, Pas bersetuju untuk menubuh kerajaan bersama dengan APU. Salah satu janji adalah untuk memberi jawatan Timbalan Menteri Besar (TMB) kepada Semangat 46 diikuti beberapa kerusi Exco dan jawatan eksekutif dalam GLC lainnya. 

Tetapi saat kerajaan ditubuhkan janji itu dimungkiri. Jawatan TMB diberikan kepada wakil Pas, (Abdul Halim Abdul Rahman) sementara wakil Semangat 46 dilantik menjadi TMB ke-II (Mohd Rozali Ishok) yang tidak ada pun dalam Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan. Kemungkiran Pas itu memberi pengalaman pahit pertama buat Tengku Razaleigh macam mana Pas melanggar janjinya sendiri. 

Pengalaman itu menjadi Ahli Parlimen Gua Musang itu sangat mengenali Pas yang menjadikan beliau tidak mempercayai Pas. Namun Tengku Razaleigh seorang yang bersikap tasamuh, beliau mesra kawan dan bersahabat dengan pemimpin Pas tetapi tidak lagi tidur dalam perut Pas lagi. 

Bertolak daripada sejarah itulah, maka Tengku Razaleigh sangsi dengan Muafakat Nasional yang dibentuk oleh Umno dengan Pas kini. Kesangsian Tengku Razaleigh itu berasas apabila Pas kini lebih intim dengan PBBM berbanding dengan Umno, sedang Pas terlebih dahulu mengadakan tahalul siyasi (ta'awun) dengan Umno kemudian diikuti dengan pembentukan Mufakat Nasional dengan Umno. 

Malahan apa dinamakan sebagai Piagam Muafakat Nasional pun ditanda tangani dengan Umno yang saksikan ahli kedua-dua parti tersebut, ia dilangsungkan di PWTC. Tetapi apabila hadir PBBM selepas rampasan kerajaan PH, Pas menjadi intim dengan PBBM. Pas mengubah haluan dan cinta kasihnya daripada Umno kepada PBBM. Pas terpesona dengan kedudukan dan jawatan. Celaka. 

Tidak ada masalah kalau pun Pas rapat dengan sesiapa sahaja. Itu strategi politik yang dihalalkan dalam sistem demokrasi Barat aliran Machiavellisme. Tetapi apa yang tidak disenangi dan mengilankan Tengku Razaleigh dan sesetengah pemimpin Umno lain, apabila PBBM secara diam dan nyata bertujuan untuk membunuh Umno. Apabila Pas seperti tidak membela Umno bahkan memberi sokongan kepada PBBM, inilah menyebabkan timbul kemarahan dan kesangsian Tengku Razaleigh dan lain-lain pemimpin terhadap setiakawan Pas yang dilihat secara langsung ikut mengizinkan PPBM untuk membunuh Umno kepada Pas.

Saking marah itu, Tengku Razaleigh mendesak partinya segera meninggalkan kerajaan PN dan serentak itu memberi pukulan kepada Pas dengan menyokong penuh kalau Umno melawan Pas dalam pilihan raya akan datang. Dalam erti kata lain secara peribadi Tengku Razaleigh menolak kerjasama Umno dengan Pas.  

Apakah harapan dan kemahuan Tengku Razaleigh itu ikhlas atau setakat ocoh-ocohan semata-mata? Sekiranya apa disebut Tengku Razaleigh itu sesuatu yang serius, dalam konteks Kelantan wajar sekali kalau Pas ditewaskan dalam Piraum akan datang. Cadangan Tengku Razaleigh itu suatu yang sangat terdesak. Dengan kegagalan Pas membangunkan Kelantan dan menggunakan kepercayaan rakyat selama lebih 30 tahun, wajar kalau kerajaan Pas ditukar ganti. 

Justeru saranan Tengku Razaleigh itu sangat bertepatan. Saranan itu juga akan disokong oleh rakyat Kelantan yang waras dan sudah melihat dan sedar akan ketidak-mampuan Pas untuk terus memerintah Kelantan. Banyak isu-isu yang tidak terungkap dan ditangani Pas sedangkan parti itu sudah memerintah selama 32 campur 18 = 50 tahun.  Kegagalan Pas itu menyebabkan rakyat Kelantan merasa tertipu atau pun mandat mereka disia-siakan sahaja.

Isu dan masalah klasik.

Isu klasik atau masalah rakyat yang gagal diatasi banyak, antaranya seperti masalah kemudahan air bersih dan beberapa prasarana lain yang setanding dengan negeri-negeri lain. "Kelewehan" Pas dalam menjaga alam sekitar, mengawal pembalakan dan perlombongan yang menyebabkan setiap tahun berlaku "banjir ajaib" di Kelantan. 

Begitu juga kegagalan Pas memanfaatkan wang royalti Petroleum bernilai berbillion ringgit mengecewakan. Belum ada apa-apa projek sebagai tanda mata yang dibangunkan dengan wang royalti tersebut. Rakyat tidak nampak apakah manfaat dibangunkan untuk mereka hasil daripada royalti. 

Apa yang ada dan kelihatan berubah ialah para pemimpin misalnya wakil rakyat dibelikan Mercedes Benz (14 buah) bernilai jutaan ringgit dan diberikan wang saku (peruntukan) sebanyak RM50,000 tiap seorang. 

Bukan itu sahaja taraf sosial rakyat Kelantan juga masih terkebawah berbanding dengan negeri-negeri lain. Kelantan masih kekal menduduki negeri kedua termiskin di Malaysia selepas Sabah. Status ini memalukan dan jelas menunjukkan ketidak-mampuan kerajaan Pas Kelantan melonjakkan pembangunan material dan pembangunan sosial-ekonomi di Kelantan. Kadar pengangguran, jenayah dadah, jenayah sex luar tabii (membabitkan agamawan) dan lain-lain tidak menunjukkan pengurangan bahkan bertambah dari tahun ke tahun.

"Kelemauan" kerajaan Kelantan itu membimbangkan sekali. Ia tidak boleh dibiarkan berterusan kerana menganiayakan rakyat Kelantan. Justeru jalan terbaik ialah kerajaan Kelantan perlu diubah, Pas tidak seharusnya diberi mandat lagi untuk terus memerintah Kelantan Piraum ke-15 kelak. 

Apa lagi kalau ditakdir Pas menang dan Mohd Amar Nik Abdullah dilantik menjadi MB, banyak lagi kelukaan dan kesedihan yang berlaku dan dialami oleh rakyat Kelantan. Apakah rakyat Kelantan sanggup menelan hujah-hujah dan helah bodoh dan simplistik yang Pandir diberikan oleh Mohd Amar setiap kali dihadapkan masalah kepadanya? 

Bukan mudah.

Persoalannya kini, untuk melakukan itu bukan semudah yang disebut dan difikirkan. Paling merumitkan apabila rakyat Kelantan seperti sudah selesa dan menerima hakikat apa yang ada di Kelantan kini. Keunikan rakyat Kelantan yang disebut dan dibanggakan masih berlaku dalam politik, mereka terus unik dalam memilih kerajaan, berbeza dengan rakyat negeri lain.

Itu tidak boleh disalahkan kepada rakyat Kelantan. Sebagai masyarakat yang didendangkan dengan jaminan Syurga mereka sanggup menghirup debu dan memakan embun asalkan dijanjikan Syurga di akhirat. Doktrin Pas sejak tahun 1960 sudah, atau 70 tahun lalu cukup hebat. Secara psikologi dan sosiologi perlu dirombak doktrin berkenaan kalau tidak mahu lihat Pas menjadi kerajaan. Tetapi itu bukan mudah.

Doktrin yang dilekat di minda rakyat Kelantan itu baru akan berubah apabila berlakunya perubahan kerajaan. Perubahan kerajaan menyebabkan projek atau program indoktrinasi  akan tergencat dan perlahan-lahan akan ludes (runtuh).  Itulah cara terbaik dan paling pantas.

Kebimbangan ini sebenarnya sudah disedari sejak dua atau tiga puluh tahun lepas. Lantaran itu usaha untuk menukarkan kerajaan telah dilakukan oleh Umno sejak zaman Nik Abdul Aziz Nik Mat jadi MB Kelantan lagi. Namun ia gagal. Rakyat Kelantan teruja dengan agenda Islam dan saksiah Nik Aziz sebagai pemimpin. Peluang terbaik untuk ditukar kerajaan ialah pada tahun 2004 dan terbaharu dalam Piraum ke-14 lalu, tetapi gagal. 

Tahun 2004 kerajaan Pas sudah hampir-hampir ghuyub. Pas memerintah dengan dua kerusi sahaja. Bagaimana pun kekalahan itu diperbaiki hingga Pas mendapat majoriti 2/3 semula pada Piraum berikutnya. Dan terbaharu ialah pada Piraum lalu. Arus perubahan dan tsunami politik yang sudah melanda Pantai Barat, Selatan dan Utara tidak terbabas ke Kelantan.  Kelantan dan Terengganu terselamat, terus dalam rangkulan Pas. Kelantan dan Terengganu diselamat oleh banjaran Titiwangsa.  

Kekalahan atau kegagalan untuk merampas Kelantan dalam pilihan raya lalu, sebenarnya tidak perlu ditakuti atau dijadikan suatu mitos yang kerajaan Pas tidak boleh digugat. Mengatakan Pas tidak boleh dikalahkan satu khurafat, sebab Pas pernah ditumbang pada tahun 1978. Sesungguhnya kerajaan Pas boleh ditumbangkan sekiranya ada kerjasama yang memberi impak dalam pilihan raya akan datang. 

Bentuk team khas.

Di sini ada formula macam mana untuk menukar kerajaan Kelantan pada Piraum akan datang. Jika pun kerajaan Pas tidak jatuh ia boleh menggugat kerajaan berusia 32 tahun itu untuk tidak mendapat majoriti di Dewan Undangan Negeri Kelantan. Formulanya adalah perlu dibentuk satu team untuk menentang Pas dalam Piraum akan datang. 

Team itu itu boleh diumpamakan Team Bolasepak. Anggap politik di Kelantan sebagai game bolasepak. Sejarah telah mencatatkan team sepak bola di Kelantan pernah mencapai kejayaan gemilang dengan merangkul tiga tiga piala, triple. Siapa pun tidak pernah terfikir team bolasepak Kelantan mampu sampai ke tahap itu. Tetapi itu sudah direkod dan dilakarkan. 

Nah begitulah team politik yang hendak tumbangkan Pas di Kelantan harus kental seperti team bola sepak Kelantan semasa dipimpin Annuar Musa itu. Sekiranya Annuar Musa masih seperti dahulu sudah tentu Annuar Musa akan dimasukan dalam team untuk merampas Kelantan ini. Tetapi sayang kini Annuar Musa lebih menjaga dirinya daripada nasib rakyat Kelantan. 

Kekuatan dan kejayaan bola sepak Kelantan dahulu, bukan diuruskan oleh Kafa, yakni Persatuan Bolasepak Kelantan, tetapi oleh Red Warrior, sebuah syarikat.  Dalam erti kata lain, ia diswastakan. Kalau ia diuruskan oleh Kafa mungkin bola sepak Kelantan tidak berbah dan berdaya maju mustahil dapat merangkul piala. 

Begitu juga dalam politik, harus diswastakan untuk menumbangkan Kelantan jangan diserahkan kepada mana-mana parti secara bersendirian. Makanya untuk menghadapi pilihan raya akan datang perlu dibentuk team khas yang terdiri daripada beberapa parti utama dan ia bukan diserahkan kepada sesebuah parti sahaja. 

Jika ia diserahkan kepada sesebuah parti katakan kepada Umno, ia tidak akan dapat menandingi Pas. Umno tidak mampu berhadapan Pas dengan bersendirian. Begitu juga kalau diserahkan kepada parti-parti dalam PH ia tidak dapat menguggatkan Pas. Apa lagi pencapaian PH dalam pilihan raya lalu di Kelantan sangat menyedihkan. 

Sekiranya ada hasrat serius untuk merubahkan kerajaan Kelantan perlu diwujudkan satu team atau pasukan khas ini. Ia tidak boleh dilawan Pas secara bersendirian atau pun mengguna pakai pakatan sebelum ini atau tektikal sama. PH tidak mampu untuk mendepani Pas. Apa lagi kalau Pas benar akan berkolaborosi dengan PBBM, semakin sulit. Mereka yang berada dalam team atau muafakat ini hendaklah sejati dan mempunyai niat yang sama untuk membela Kelantan dengan menafikan Pas daripada terus berkuasa di Kelantan. 

Ada beberapa individu atau tokoh politik yang dilihat mempunyai aura dan mempunyai pengaruh peribadi masing-masing. Mereka ini boleh bergabung dalam team ini. Dengan ada ura-ura yang Umno ingin bekerjasama dengan PH di Kelantan ia satu peluang terbaik untuk membawa dimensi politik baru di Kelantan. Kerjasama ini boleh digagaskan Team Pembela Rakyat Kelantan Piraum 15.

Perlu disedari juga kemantapan team ini akan mempengaruhi pengundi di Kelantan khasnya mereka yang berada diluar Kelantan, perantau. Anak Kelantan yang berada diluar dan mengundi di Kelantan sekitar 160,000 hingga 200,000. Mereka adalah menjadi penentu kepada kemenangan mana-mana parti atau pakatan di Kelantan. Kemenangan Pas di Kelantan dalam beberapa pilihan raya lalu adalah kerana sokongan pengundi luar. 

Parti politik menjadikan pengundi luar ini sebagai "gunda" mereka. Beberapa pilihan raya Umno gagal untuk mempengaruhi pengundi luar ini kerana itu parti itu gagal untuk merampas Kelantan, dan kalah di malam terakhir. Kenapa ini berlaku ialah kerana beberapa faktor. Antaranya kerana mereka lihat Pas lebih bersih daripada Umno. Selain itu mereka juga takut kalau memilih Umno akan terhumban ke dalam neraka. Tetapi anggapan itu sudah tidak ada lagi apabila Pas telah "menyamak" pendirian politiknya, sudah boleh bergabung dengan sesiapa sahaja, perubahan kepercayaan ini peluang baik buat pembangkang di Kelantan. 

Untuk mewujudkan team yang mantap dan diyakini ini saya lihat ada beberapa individu perlu bergabung tenaga. Bergabung atas satu niat. Saya melihat mereka ini ada aura dan pengaruh tersendiri. Mereka juga ada kepakaran dan track record sebagai politis tersendiri, setidak-tidaknya diharap untuk memimpin Kelantan. 

Mereka ialah Tengku Razaleigh HamzahIbrahim Ali, Husam Musa, Wan Abdul Rahim dan Ahmad Jazlan Yaacob. Kebetulan mereka ini adalah pemain utama dan menjadi pemimpin parti, seperti Ahmad Jazlan menjadi Pengerusi Umno Kelantan. Wan Rahim adalah penasihat Parti Amanah Negara (Amanah). Manakala Tengku Razaleigh dan Husam walaupun hanya selaku ketua bahagian dan kawasan tetapi mereka yang cukup dikenali di Kelantan dan menjadi ikonik politik di negeri Cik Siti Wan Kembang.

Begitu juga dengan Ibrahim Ali selaku presiden parti Putra, seorang tokoh yang dilihat menghabiskan usianya dengan berbakti kepada rakyat Kelantan menerusi politik.

Jika diumpamakan mereka sebagai team bola sepak Kelantan, Tengku Razaleigh merupakan penasihat, Husam sebagai jurulatih, Ibrahim sebagai pengurus teknikal, Wan Rahim pula sebagai pelatih fizikal dan Jazlan pula selaku Bendahari. Selain mereka itu, mereka akan dibantu oleh pemain profesional lain seperti Ramzi Abdul RahmanAlwi Che Ahmad, Fatmi Che SallehAbdul Aziz Drasid, Adhan Awang Kecil  dan lain-lain sebagai pemain. 

Kalau individu ini ikhlas, insaf dan bersedia untuk sepakat team pembela Kelantan itu boleh dibentuk. Kita percaya team ini yang terdiri daripada professional akan diyakini oleh pengundi luar. Pasti bila diadakan perlawanan nanti mereka akan kembali dan akan memenuhi Stadium Sultan Muhammad ke IV untuk memberi sokongan. Golll..... 

Namun sekiranya dalam pilihan raya akan datang mereka akan turun padang (pilihan raya) dengan pasukan mereka masing-masing, menggunakan team lama yang sudah beberapa kali tewas, mereka bukan sahaja tidak akan berjaya merangkul piala kemungkinan mereka juga akan turun di division atau terkeluar terus dari liga bola sepak. [wm.kl. 10:09 pm 12/03/2021]