Selepas lebih 10 tahun masalah bekalan air membelenggu Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu, pengarahnya Dr Selasawati Ghazali tampil bertanya mengenai perancangan kerajaan dalam mengatasi masalah itu pada sesi soal jawab program Malaysia Prihatin yang dihadiri dua menteri dan Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob.
Pada sesi soal jawab program itu, Selasawati menyuarakan masalah air yang berlaku di hospital itu dan apakah kerajaan mempunyai perancangan untuk mengatasi masalah tersebut.
Susulan itu Ahmad ketika menjawab soalan berkenaan menjelaskan, pihaknya dan Kementerian Alam Sekitar dan Air sedang mengambil beberapa pendekatan untuk menyelesaikan masalah berkenaan.
“Tindakan sedang diambil dan ia akan mengambil sedikit masa untuk menyelesaikan masalah yang berlaku,” katanya pada program Malaysia Prihatin sesi bersama pengawai kerajaan negeri Kelantan dan persekutuan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan hari ini.
Program itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed.
Sementara itu, ditemui media selepas program itu, Selasawati berkata, hampir setiap hari bekalan air di HRPZ II mengalami gangguan sekali gus menjejaskan aktiviti harian.
Katanya, setiap hari penggunaan air di hospital itu tinggi sehingga mencecah 500 gelen atau 1,893 liter, namun bekalan air yang diterima tidak mencukupi untuk menampung keperluan.
“Di hospital kapasiti pesakit hampir 1,000 orang dan jumlah kakitangan pula seramai 4,000 orang dan jumlah itu tidak termasuk waris pesakit yang menjaga dan mengunjungi hospital berkenaan.
“Masalah ini sudah berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu dan sehingga kini. Air adalah keperluan asas dan semestinya menjejaskan aktiviti harian hospital,” katanya..