Siaran Media 02, mengkhususkan kepada persepsi rakyat Malaysia terhadap Menteri-menteri Kabinet kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) yang telah terbentuk sejak 1 Mac 2020.
Kabinet ini adalah antara barisan kabinet terbesar yang memiliki 32 portfolio dan 38 Timbalan Menteri. Wujud 7 kementerian yang mempunyai dua Timbalan Menteri.
Berdasarkan keputusan Survei IDE terkini, purata penilaian (average rating) terhadap Menteri Kabinet TSMY adalah 3.0 bagi skala antara 1 (paling rendah) hingga 10 (paling tinggi).
Pandangan masyarakat ini dipercayai kesan daripada pelbagai isu-isu yang melatari kepada sikap dan respon Menteri, polisi dan ketetapan dasar yang berubah-ubah serta kedudukan politik semasa.
Latar pelbagai perkara yang berlaku sepanjang setahun pentadbiran Kabinet ini turut membentuk persepsi responden.
PERSEPSI RAKYAT TERHADAP KEBERKESANAN MENGAWAL COVID 19
Pandemik COVID 19 merupakan satu cabaran besar buat negara. Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan TSMY terpaksa mengharungi cabaran ini yang dilihat mempunyai impak besar terhadap keprihatinan rakyat Malaysia.
Berdasarkan survei 21% berpandangan bahawa Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan beliau berjaya menawar penularan COVID 19 dengan berkesan. Manakala, 75% responden berpandangan kepimpinan TSMY sebaliknya.
Wujud pelbagai kritikan dan persepsi rakyat berkaitan hal ini yang dilatari oleh pelbagai isu seperti kelonggaran peraturan tertentu, isu vaksin, isu tatakelola dan integriti, bantuan kewangan dan lain-lain.
Pandangan dan persepsi rakyat ini didapati hampir sama merentas kaum dan umur rakyat Malaysia.
Golongan umur pertengahan didapati lebih kritikal menyuarakan ketidakpuasan hati mereka berkaitan isu ini.
Rata-rata rakyat melalui dapatan kualitatif selari dengan survei ini dijalankan, telah menyuarakan pandangan untuk pihak kerajaan lebih pro aktif, serius, tegas, saksama serta prihatin terhadap golongan yang amat terkesan bagi memastikan wabak COVID 19 serta kesannya dari sudut sosial masyarakat dapat ditangani.
Golongan wanita didapati lebih kritikal berbanding dengan lelaki dalam menyuarakan ketidakpuasan hati mereka dalam isu keberkesanan menangani COVID19.
Hal ini jelas berkemungkinan dari beban yang terpaksa ditanggung oleh golongan wanita yang berkerjaya dan dalam masa yang sama terpaksa mengurus anak-anak dan keluarga dalam suasana pergerakan terhad di waktu pandemik COVID 19.
Survei Mood Rakyat Malaysia Setahun Pemerintahan Perikatan Nasional dijalankan oleh Institut Darul Ehsan (IDE) secara dalam talian pada 19 hingga 28 Februari 2021 yang melibatkan 8,352 orang responden seluruh negara, Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Persampelan yang digunakan dalam kajian ini adalah persampelan berperingkat (multi-stage sampling).
Profil responden adalah merangkumi jantina, umur, kaum, sokongan kepada parti dan trend keputusan PRU14.
Survei ini juga turut mendapatkan pendirian responden terhadap isu berkaitan prestasi Kerajaan dan Perdana Menteri, usaha Kerajaan menangani COVID 19 dan masa depan politik Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Pakatan Harapan.
Siaran Media ini adalah Siaran Media SIRI KE-2 MOOD RAKYAT #MOOD OF THE NATION, berkaitan dengan Survei Mood Rakyat ini.
Info lanjut layari web: www.ideselangor.com / Facebook, Youtube & Twitter IDE.
Dikeluarkan oleh: UNIT PENYELIDIKAN IDE