POSTED BY AMIR WRLR
Pertelagahan berterusan antara Perikatan Nasional (PN) dan
sekutunya Umno-BN diramal akan menyebabkan berlaku pertembungan tiga hingga
empat penjuru dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
Bagi Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid,
pertembungan itu semakin nyata apabila Mesyuarat Biro Politik Umno pada 19
Februari lalu membuat ketetapan bahawa parti itu tidak akan bersama PN dalam
PRU akan datang.
Kata Abdullah, hal itu membuka spekulasi akan wujud pertandingan
antara PN, BN dan Pakatan Harapan di semua kerusi, malah mungkin menjadi empat
penjuru sekiranya melibatkan parti-parti kecil lain.
"Tiada sebab isu tiga penjuru berbangkit kerana ini sudah
'confirm' (pasti). Takkan Umno hendak bersama dengan pengkhianat (PN)?
"Kebarangkalian itu telah hampir menjadi kenyataan (tiga
penjuru) dan ianya adalah lebih menjurus kepada langkah seterusnya, sama ada
berlaku tiga atau empat penjuru. Empat penjuru boleh berlaku sebab politik ini
dinamik," katanya ketika dihubungi oleh Suara Keadilan.
Mengulas sama ada Pas akan menyebelahi PN atau Umno BN dalam
pertandingan empat penjuru itu, Abdullah berkata, Muafakat Nasional juga akan
berantakan menjelang PRU kerana ketidakjujuran Pas di dalamnya.
"Pengkhianatan yang berlaku ini bukanlah satu episod baru.
Episod demi episod pengkhianatan akan terus berlaku sesama mereka, termasuk
oleh Pas sendiri.
"Sejak bila mereka (Pas) bersifat jujur? Pengkhianatan (Pas)
sudah menjadi kebiasaan termasuk dengan PR (Pakatan Rakyat) suatu ketika dulu
dan ianya sudah menjadi permainan tetap Pas," tegas Abdullah Sani lagi.
Baru-baru ini, penganalisis politik meramalkan hampir pasti
pertembungan tiga penjuru akan berlaku dalam PRU 15. Namun mereka kurang yakin
Pas akan kekal bersama PN melihat kepada sikap parti itu yang sering bermain
'dua kolam'.
Pas dakwa penganalisis politik akan menilai situasi pada saat-saat
akhir. Mereka mungkin memberi keyakinan untuk pemimpin Bersatu membubarkan
Parlimen pada ketika ini, namun sekiranya melihat peluang lebih cerah menjadi kerajaan
bersama BN tidak mustahil Pas akan berpindah sokongan.