POSTED BY AMIR WRLR
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) terus berdegil untuk tidak
membenarkan sidang Parlimen berlangsung ketika tempoh darurat.
Terbaharu, dalih yang diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan bahawa undang-undang tidak perlu dibahaskan sewaktu darurat dan risiko jangkitan Covid 19 ke atas Ahli-ahli Parlimen jika diadakan sidang ditempelak oleh Majlis Setiausaha Pakatan Harapan.
Dalam satu kenyataan, Majlis Setiausaha berkata, alasan remeh sedemikian amat tidak menghormati titah Yang di-Pertuan Agong yang mahukan Parlimen segera dibuka.
"Majlis Setiausaha PH kesal dengan alasan-alasan yang diberi Menteri di Jabatan Perdana Menteri tentang mengapa Jemaah Menteri tidak menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang.
"Antara alasan utama yang diberi termasuklah undang-undang yang tidak perlu diluluskan Parlimen sewaktu darurat berkuatkuasa, dan ramainya Ahli Parlimen yang berisiko tinggi menjangkiti Covid-19 sekiranya Parlimen bersidang.
"Kesemua alasan yang diberi adalah lemah, dangkal dan tidak menghormati titah nasihat Seri Paduka Baginda pada 24 Februari lalu yang menyatakan Parlimen boleh bersidang sewaktu darurat berkuatkuasa.
"Kekeliruan SOP Covid-19, kemarahan rakyat tentang isu “Antara Dua Darjat” dalam penguatkuasaan, bantuan kerajaan yang tidak sampai atau tidak mencukupi dan banyak masalah lain adalah sebab utama mengapa Parlimen mesti bersidang segera.
"Sebagai institusi ulung demokrasi negara kita, Parlimen turut berfungsi sebagai tempat proses semak imbang pengurusan kerajaan dilakukan. Tanpa Parlimen termasuk Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, proses semak imbang tersebut telah ‘dimatikan’" kata mereka kesal.
Menganai risiko jangkitan Covid kepada Ahli Parlimen pula, Majlis Setiausaha mahu kerajaan PN menunjukkan bukti terdapat kluster Parlimen atau sebarang jangkitan yang berpunca daripada sidang sepanjang 2020 lalu.
Malah, kata mereka, fakta membuktikan bahawa langkah-langkah dan SOP yang diambil bagi perjalanan sidang Parlimen pada 2020 amat berkesan dan Parlimen boleh bersidang sekarang tanpa lengah.
Justeru, Majlis Setiausaha kini memohon kepada Yang di-Pertuan Agong agar menggunakan kuasanya untuk memanggil sidang Parlimen kerana kerajaan PN kelihatan enggan berbuat demikian.
"Majlis Setiausaha tidak boleh menerima alasan-alasan YB Menteri. Pada ketika Perintah Kawalan Pergerakan tamat dan diganti dengan PKP Pemulihan atau PKP Bersyarat, pada ketika lebih banyak sektor ekonomi dibenar beroperasi dan pada ketika pihak Eksekutif serta Kehakiman boleh berfungsi, tiada alasan lagi untuk Parlimen tidak bersidang sesegera mungkin.
"Oleh itu, Jemaah Menteri perlu menjunjung kasih di atas titah nasihat Seri Paduka Baginda tersebut, serta menasihati Tuanku untuk memanggil sidang Parlimen segera," kata mereka.
Kenyataan bersama tersebut dikeluarkan oleh Setiausaha Agung KEADILAN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung Amanah Datuk Dr Hatta Ramli dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Loke Siew Fook.