1. Persepsi dibentuk bertujuan untuk mengukuhkan kepentingan
sesuatu naratif guna mempengaruhi minda orang ramai. Semasa saya menjadi
Menteri Agama, naratifnya adalah "Islam tidak dibela oleh kerajaan
PH" Menteri Agama waktu itu menjadi sasaran persepsi dibentuk begitu rupa
sehingga semua tindak-tanduk saya diletakkan dalam naratif besar 'tidak bela
Islam!'
2. Saya tangani persepsi dengan counter naratif (balas naratif)
berpandukan kepada fakta dan dasar-dasar yang jelas. Saya mengangkat dasar
Rahmatan Lil Alamin (RLA) yang dipersetujui oleh MRR (Majlis Raja-Raja) pada 4
July 2019 dan semua polisi pentadbiran Islam saya menepati dengan kehendak
dasar ini. Ini balas naratif saya kepada isu 'tak bela Islam'. Rujuk kepada FB
saya dan portal berita serta jawapan-jawapan di parlimen dalam hansard. Hanya
yang sengaja mahukan persepsi buruk ke atas saya sahaja yang buta, pekak dan
tuli kepada segala penjelasan yang telah saya buat.
3. Isu LGBT, Nisha Ayub, Tandas LGBT, mesra LGBT sangat berguna
sebagai alat propaganda mereka membentuk persepsi. Saya menafikan sekerasnya
saya yang membina persepsi tersebut tetapi hakikatnya ada manusia yang mahu
memaksa persepsinya ke atas orang ramai. Ramai sahaja yang mendekati gologan
ini dalam kerangka berdakwah, tetapi bila Menteri Agama PH yang buat ia menjadi
bahan fitnah!
4. Dasar LGBT sangat jelas dalam jawapan di Parlimen dan
penjelasan-penjelasan saya di luar parlimen. Pertemuan dengan Nisha Ayob
tanggal 11 Ogos 2018 adalah untuk menjelaskan kepadanya kenapa saya mengarahkan
diturunkan gambar beliau dan ikon LGBT yg lain dalam pameran sempena bulan
kemerdekaan di Dewan Seri Pinang Pulau Pinang tempoh hari. Saya juga
menjelaskan kepadanya sikap kerajaan PH menolak advokasi LGBT. Beliau juga
membuat beberapa aduan tentang masalah transgender yang tertekan dengan sikap
masyarakat dan kebanyakan mereka dieksploitasi untuk menjadi mangsa industri
maksiat.
Isu tandas LGBT telah terjawab atas kekeliruan laporan berita
dan telahpun dinafikan oleh saya dan dilaporkan pada 13hb Ogos 2018 ( https://www.bharian.com.my/.../saya-minta-maaf-atas... ).
Adakah pendusta berlaku adil menjelaskan laporan ini? Rasanya tidak! kerana
itulah yang diulang-ulang untuk menjadi bahan dan alat naratif mereka.
5. Kelemahan dari sudut komunikasi saya mungkin ada namun bukan
bermakna persepsi itu betul, hakikatmya ialah penipuan yang berulang-ulang
akhirnya diterima sebagai kebenaran seperti falsafah Joseph Goebels dalam
propagandanya mengkultuskan Hitler. Amat malang bagi umat Islam yang ingin
bersandar kepada keilmuan seseorang tetapi sesorang itu terikut dengan cara
propaganda Hitler walaupun mengaku ikut Sunnah Nabi s.a.w.
6. Apa yang distilahkan kelemahan komunikasi menangani persepsi
sebenarnya adalah kerana kita hidup dalam zaman 'post-truth' atau
pasca-kebenaran. Di dalam politik, hakikat yang mendasari fenomena ini adalah
kebenaran (truth) dan penjelasan dasar-dasar (policies) sudah tidak relevan
berbanding dengan sentimen dan emosi yang lebih disukai dan lebih mudah
mempengaruhi orang ramai. Inilah yang dieksploitasikan oleh pihak tertentu
malah penyokong PH pun turut menjadi mangsa post-truth ini.
7. Saya sebagai mantan Menteri Agama zaman PH adalah sasarannya
walaupun banyak usaha yang saya lakukan atas kejelasan dasar RLA dan sebagai
Menteri, saya bertemu dengan semua pihak mengaplikasikan dan menjelaskan dasar
RLA. Selain Nisha Ayob saya mendamaikan perbalahan Dr Maza dan Prof Ramasamy
pada 30 July 2018 dalam pertemuan di pejabat saya. Saya bertemu dengan Dong Zhiao
Jong dalam kontraversi isu pembelajaran Jawi. Saya bertemu dengan Ustaz Abdul
Somad, saya bertemu dengan wakil dari suara umat Islam minoriti dari Uighyur,
Thailand, Kemboja dan wakil isu besar umat Islam seperti Palestine. Kenapa
mereka selektif hanya kaitkan isu LGBT dan Zakir Naik sahaja? Sebab mereka mahu
kukuhkan persepsi " Mujahid sedia jumpa Nisha (LGBT) tetapi tak mahu
bertemu Zakir Naik (Bela Islam). Semakin mantaplah naratif mereka!
8. Ada beberapa perkara yang saya sedia jangkakan dari peribadi
sahabat saya SS Mufti Perlis tetapi saya tidak pernah menjangkakan SS Mufti
Perlis memilih untuk berbohong secara umum mengatakan saya enggan bertemu
dengan Dr Zakir Naik. Ini bukan lagi membina persepsi tetapi pembohongan yang
tidak sepatutnya menjadi contoh dari sosok tubuh seorang Mufti.
9. Pada 13 March 2019 bertempat di Pejabat JAWI, Wilayah
Persekutuan, saya bertemu dengan Dr Zakir Naik. Saya menjelaskan sikap kerajaan
tentang kenyataan kontraversinya dan berkesempatan menjelaskan dasar RLA kepadanya.
Pertemuan berjalan dengan penuh kemesraan dan kami menikmati makan tengahari
bersama sambil bertukar pandangan tentang dakwah dan keberkesanannya dalam
masyarakat berbagai agama dan kaum di Malaysia.
10. Apa yang ditularkan dalam FB Dr Maza dalam program sembang
santai isu semasa bersama Mufti Perlis yang disiarkan secara live pada 7 March
9.30 malam masih pekat dengan naratif antiknya. Namun ada sesuatu yang saya
tidak menjangkakan dibuat dalam live itu, iaitu pemalsuan fakta
terang-terangan.
11. Cara dikendalikan pula penuh dengan rasa bangga dengan
kejayaan persepsi palsu dan kemudian berani pula menyalahkan saya kononnya saya
yang membina persepsi itu. Mereka pun membuat perbezaan dengan Menteri Agama
hari ini tanpa merasa insaf pembohongan persepsi yang mereka lakukan terhadap
saya.
Ada batasan kalau hendak berpersepsi dan bernaratif kerana
membentuk persepsi mungkin melambangkan kelemahan kita tidak mahu mengakui
fakta, tetapi awas kepada ingatan Nabi s.a.w bahawa seseorang Muslim tidak
mungkin akan berdusta sama sekali!
Marilah kita ikut Sunnah, tinggalkan Fitnah!
DS Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Parit Buntar
Naib Presiden AMANAH
9hb March 2021