Pengkhianatan satu hikmah, musuh disingkir diri sendiri
Para pejuang reformis tidak perlu gundah gulana menghadapi siri pengkhianatan terbaharu Ahli-ahli Parlimen KEADILAN.
Menurut Setiausaha Gabungan Reformis Malaysia (GRM) Kapten (B) Zulkefli Othman, penghianatan baru-baru ini mempunyai hikmah besar kepada parti kerana ‘musuh dalam selimut’ telah menyingkirkan diri mereka sendiri tanpa perlu dipecat.
Katanya tanpa musuh seperti itu, KEADILAN akan menjadi lebih teguh dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15.
“Hikmah cukup besar. Pengkhianatan merupakan proses pembersihan di kalangan pemimpin yang berlaku secara tersendiri.
“Sebelum ini wujud ‘kartel’ dalam parti. Kita mahu ‘pancung’ tidak boleh tetapi peristiwa ini dapat mengenengahkan satu kaedah di mana rakyat boleh menilai sendiri siapa itu kartel.
“Jadi dalam hal ini (pengkhianatan) kita kena kental dan tabah. Jadi reformis sejati, reformis bermaruah.
“Benar kita berjaya dalam PRU lepas tetapi agenda reformasi tidak berjaya kita laksanakan sepenuhnya sebab kepimpinan negara pada waktu itu tidak dipelopori orang yang memperjuangkan reformasi.
“Kita bekerjalah sekali lagi dalam PRU 15 ini untuk menobatkan agenda Reformasi (total),” katanya dalam forum Facebook bertajuk: “Reformis tolak pengkhianatan, utamakan agenda reformasi”, baru-baru ini.
Selain itu, Kapten Zulkefli juga mengimbau sejarah pengkhianatan dalam parti sejak beliau masih di dalam sayap pemuda 20 tahun lampau.
Katanya, sepanjang dua dekad itu KEADILAN tidak pernah melemah biar siapa pun yang pergi, malah tokoh sebenar Timbalan Presiden pada peringkat awal sekali pun.
“Saya mengajak seluruh reformis jangan rasa gusar. Kita sudah lihat sejarah lampau pimpinan KEADILAN meninggalkan parti, dari Timbalan Presiden yang awal hingga sekarang. Kita boleh namakan, Ketua Pemuda, Ketua Penerangan, Ahli Parlimen yang pergi.
“Namun semangat reformis tidak pernah kenal erti undur. Saya amat yakin (akan kemenangan) ketika kita bermula pada1998 kita tidak punyai satu pun pimpinan bergelar YB tetapi kita mampu bertahan sehingga ke hari ini,” katanya lagi.
Belau turut menceritakan pengalaman perit PRU petama yang disertai KEADILAN pada 1999, apabila Ketua Wanita ketika itu mengumumkan menarik diri dari perjuangan selepas Parlimen dibubarkan.
Namun, katanya jentera KEADILAN tetap bergerak dan menghadapi PRU dengan sebaik-baiknya.
Tegas Kapten Zulkefli lagi, keadaan sekarang sepatutnya jauh lebih baik dengan keanggotaan yang besar dan sejumlah Ahli Parlimen maka KEADILAN perlu bangkit dari pengkhianatan dengan kekuatan yang berkali-kali ganda daripada detik-detik awal perjuangannya.