Ketika perwakilan Umno kali terakhir bertemu pada Disember 2019, suasananya meriah susulan siri kemenangan pilihan raya kecil selepas kecundang dalam pilihan raya umum 2018.
Pada hujung minggu ini, perkara lebih serius sedang berlaku, iaitu persoalan kelangsungan parti.
Pada 2019, setelah mengalahkan Pakatan Harapan (PH) dalam empat pilihan raya kecil, Umno menjalin kerjasama Muafakat Nasional dengan PAS dan kerjasama orang Melayu itu berkembang dari satu tahap ke tahap berikutnya.
Kini hubungan Umno dengan rakan baharu, musuh lama dan “frenemies” baharu akan menjadi tumpuan.
Pemimpin Umno mesti memutuskan sama ada mahu “memuktamadkan” desakan akar umbinya supaya memutuskan hubungan dengan PPBM yang sebelum ini merupakan rakan parti itu.
Kepemimpinan Umno juga mesti menjawab soalan mengenai dakwaan rundingan rahsia dengan musuh ketat baharu, iaitu PKR, dan juga bekas musuh yang kini menjadi sekutu, PAS, yang dilihat berbolak-balik antara parti itu dengan PPBM.
Semasa perbincangan pada hari ini dan esok di perhimpunan agung tahunannya yang ke-74, pemimpin utama parti akan merasai tekanan – terutama presiden parti Ahmad Zahid Hamidi.
Perbicaraannya di mahkamah atas tuduhan rasuah kelihatan semakin “menyukarkan” dari sudut politik.
“Kami berharap kepemimpinan tertinggi akan mengesahkan pendirian majoriti bahagian, bahawa kami tidak mahu bekerjasama dengan PPBM,” kata Wan Agyl Wan Hassan, seorang pemimpin Pemuda Umno Wilayah Persekutuan kepada FMT.
“Saya fikir wujud tekanan supaya kepimpinan mengesahkan pendirian bahagian, terutamanya mereka yang berada dalam kerajaan. Mereka mesti melakukannya. ”
Dilaporkan 147 daripada 191 bahagian Umno menolak kerjasama dengan PPBM dalam pilihan raya yang akan datang, dan hanya menyokong kerajaan yang dipimpin Perikatan Nasional (PN) sehingga Parlimen dibubarkan.
Ada yang mahu hubungan itu diputuskan serta-merta. Keputusan itu akan menyebabkan “kluster Kabinet”, iaitu pemimpin Umno yang memegang jawatan dalam kerajaan berada dalam keadaan serba-salah.
Di sisi lain, Presiden PKR Anwar Ibrahim menimbulkan ribut baharu dengan mendakwa mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan pemimpin Umno.
Wan Agyl, yang akan mewakili Pemuda Umno Wilayah Persekutuan ke perhimpunan sayap itu berkata, parti itu tegas tidak akan bekerjasama dengan PKR atau DAP pada pilihan raya umum akan datang.
Katanya, ramai yang berharap perhimpunan agung kali ini menetapkan haluan parti untuk pilihan raya akan datang.
“Semua harus mencapai persetujuan, dan terus melangkah maju. Sekiranya selepas kita menetapkan haluan, masih ada pihak yang berusaha supaya parti mengubah pendirian, maka itu tidak baik. Ini akan mempengaruhi persiapan kita untuk pilihan raya. ”
Wan Agyl berkata, semua pemimpin Umno, tanpa mengira Ahli parlimen, menteri atau pemegang jawatan dalam parti, mesti mengikut dasar dan mengutamakan kepentingan parti.
Kepimpinan parti itu sendiri menimbulkan persoalan kepada perwakilan. Dengan kes mahkamah Zahid masih tergantung, adakah beliau merupakan individu yang sepatutnya memimpin parti dalam pilihan raya dan masa depan?
Atau adakah perwakilan harus mencari kepimpinan baharu?
Perhimpunan ini tidak akan menyaksikan pemilihan pemimpin, tetapi persoalan peremajaan parti mungkin bermain di bibir perwakilan.
Ini memandangkan “kluster mahkamah”, iaitu pemimpin parti yang berdepan tuduhan di mahkamah, kelihatan bercanggah dengan “kluster Kabinet”.
Umno, yang menyambut ulang tahun ke-75 tahun ini, sangat memerlukan kepemimpinan yang bersatu untuk membawanya keluar dari tahap terendah dalam sejarah yang dihadapinya kini.
Penganalisis sosio-politik dari Universiti Malaya, Awang Azman Pawi berkata, beliau yakin akan berlaku perdebatan hangat mengenai hubungan Umno-PPBM.
“Saya tidak akan terkejut jika PPBM dijadikan sasaran, selain pemimpin Umno, seperti Annuar Musa, yang dilihat menentang desakan supaya memutuskan hubungan dengan PPBM.”
Jeniri Amir, felo kanan Majlis Profesor Negara berkata, Umno tidak lagi dapat lari daripada menangani “masalah besar” dalam parti itu.
“Saya tidak melihat kepimpinan mempunyai pilihan lain selain memutuskan hubungan dengan PPBM. Jadi, saya tidak menjangka akan berlaku sebarang kejutan. ”
Dengan begitu banyak musuh baharu dan lama dan rakan yang tidak komited sepenuhnya kepada kerjasama, banyak perkara yang perlu diperkatakan oleh perwakilan Umno, selain masalah kepimpinan parti itu sendiri.
Buat julung-julung kalinya, senapang Umno tidak akan dihalakan kepada musuh kekal parti itu kali ini, iaitu DAP.