Negara ini bukan hak peribadi sesiapa, tak boleh buat sesuka hati – Tok Mad

 


Negara ini bukan hak peribadi sesiapa, tak boleh buat sesuka hati – Tok Mad


Sistem demokrasi pasca moden Malaysia kini semakin susut dan merosot, sedangkan ia seharusnya lebih kukuh dan baik berbanding sebelumnya.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, negara ini semakin mundur daripada kualiti kepimpinan apabila Ahli Parlimen bertindak sesuka hati atas perkiraan peribadi dan bukan prinsip serta nilai.

Kebebasan bersuara dan berekspresi juga semakin mengecil dengan pelbagai ordinan dan tindakan yang menanam ketakutan dan bukannya pertanggungjawaban.

Menurutnya, apabila Parlimen digantung dan Perlembagaan dilumpuhkan, semua ini adalah kesusutan nilai demokrasi yang sangat dibimbangi.

Oleh itu, katanya, Malaysia mesti keluar dari defisit demokrasi ini.

“Kita sepatutnya lebih baik dan lebih unggul dalam mengurus negara ini dan menampilkan amalan demokratik yang lebih maju,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, membiarkan potensi Malaysia dalam kedudukan seperti sekarang sangat mendukacitakan.

Sehubungan itu, menurutnya, rakyat Malaysia mempunyai tanggungjawab kolektif untuk memperbaiki kedudukan demokrasi Malaysia.

”Sama ada kita seorang Menteri Kabinet, atau penjawat awam, atau ahli politik pembangkang, atau kumpulan masyarakat sivil mahupun hanya orang biasa, marilah kita mengembalikan amalan demokrasi di Malaysia ke tahap dan kedudukan lebih baik,” ujarnya.

Tambah beliau, negara ini adalah tanahair yang istimewa buat semua penduduknya, bukan hak milik peribadi atau sesiapapun dan tidak boleh diperlakukan dengan sesuka hati.

Negara ini adalah hak semua untuk semua. Rakyat negara ini mengimpikan watan idaman yang benar-benar akan memberikan mereka rasa kepunyaan kepada Malaysia.

”Lalu marilah kita memperbaiki demokrasi di Malaysia ini tanpa lelah. Lakukan apa jua yang termampu, agar akhirnya, dengan usaha kolektif semua, demokrasi di Malaysia akan menjadi lebih baik dan lebih maju,” katanya