Ahli Parlimen Padang Serai M Karupaiya mengakui beliau sudah
beberapa kali ditawar wang jika bertindak keluar dari KEADILAN, malah digesa
untuk sertai parti kerajaan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Paling terbaru, beliau mendakwa individu bernama Azhar
menghubunginya dan berjanji akan menyalurkan peruntukan dan kontrak sekiranya
beliau bersetuju untuk lompat parti dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional
(PN).
“Ada orang ‘call’ saya dari Putrajaya, dia kenalkan diri sebagai
Azhar. Saya tidak pasti nama samaran atau apa, saya tidak tahu.
“Dia ingin tawarkan saya sertai Bersatu. Dia kata akan bagi
tawaran peruntukan yang lebih baik, kontrak dan sebagainya.
“Tetapi saya tolak, saya beritahu saya setia kepada parti,”
katanya.
Malah Karupaiya berkata, ia bukanlah kali pertama individu berkenaan
menghubunginya.
“Hari Ahad minggu ini, adalah kali kedua dia hubungi saya, pertama
kali dia hubungi saya tidak berapa faham tentang apa yang dia katakan.
“Saya katakan saya tidak faham dan kena semak dahulu dengan Anwar
berkenaan perkara ini,” katanya.
Karupaiya menjelaskan, beliau tidak membuat laporan kepada
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana tidak dapat mengesahkan
sama ada panggilan itu dibuat oleh individu sebenar atau hanya panggilan palsu.
“Siapa-siapa sahaja boleh hubungi kita, boleh juga hendak uji,
saya tidak tahu.
“Bagi saya, sesiapa sahaja boleh uji dan sekiranya individu betul
juga boleh uji saya.
“Saya setia kepada parti dan pengundi di kawasan. Saya tidak akan
pindah walaupun bagi peruntukan atau tidak, saya masih jalankan tugas sebagai
Ahli Parlimen,” katanya.
Karupaiya bagaimanapun bimbang sekiranya berlaku tindakan lanjut
yang cuba memerangkapnya dengan gejala rasuah.
“Saya takut juga, nanti ada yang ugut. Letakkan satu beg dalam
kereta saya dan kata saya sudah ambil rasuah.
“Sekarang benda ini boleh berlaku. Saya tidak mahu macam itu,
apa-apa benda boleh berlaku pada kita, bila-bila masa,” katanya.
Walaupun sudah beberapa kali beliau menolak tawaran tersebut,
anggota keluarganya pula menjadi sasaran.
“Semalam, ada yang hubungi anak lelaki saya selepas saya katakan
tidak berminat sebelum ini.
“Mereka hubungi anak saya dan memintanya untuk hubungi saya. Anak
saya katakan, sekiranya diberikan RM50 juta, saya tetap tidak akan berganjak.
“Saya tidak pasti bagaimana mereka dapat nombor telefon anak saya.
“Anak saya menetap di Kuala Lumpur dan sesetengah ahli politik
tahu siapa beliau.
“Anak saya katakan bahawa ayahnya dalam keadaan stabil dan
sekiranya dia tidak ada kemampuan kewangan, maka anaknya akan membantu,”
katanya.
Karupaiya merupakan salah seorang daripada lima Ahli Parlimen
KEADILAN yang sedang dipancing untuk menyokong kerajaan seperti didedahkan oleh
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
Empat yang lain adalah Ahli Parlimen Sg Siput, S Kesavan, Ahli
Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari, Ahli Parlimen Miri, Michael Teo Yu Keng
dan Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail.