POSTED BY AMIR WRLR
Datuk Seri Anwar Ibrahim terus-terusan mengecam tindakan Perikatan
Nasional (PN) yang menyogok beberapa ahli Parlimen dan mempergunakan agensi
penguatkuasa kerajaan untuk terus kekal berkuasa.
Presiden KEADILAN itu menganggap, tiada sebab lain untuk kerajaan
PN berbuat demikian melainkan mereka benar-benar sudah kehilangan majoriti.
"Kenapa sesetengah pemimpin menggunakan pendekatan merasuah,
mengugut dan mempergunakan agensi penguatkuasa kerajaan untuk cuba mendapatkan
sokongan satu atau dua ahli Parlimen, ini kerana mereka sudah terdesak kerana
mereka tahu mereka sudah kehilangan majoriti.
"Tetapi dalam soal ini sekalipun, tidak perlulah sehingga
mengganggu dan mengancam mereka hanya kerana sudah kehilangan majoriti. Ini
langsung tidak bermoral, tidak beretika dan tidak mengikut undang-undang sama
sekali," katanya.
Justeru, Anwar menggesa agensi kerajaan supaya tidak tunduk kepada
arahan yang bermotifkan politik semata-mata.
"Saya menyeru supaya agensi kerajaan untuk tidak memberikan
kerjasama. Agensi kerajaan mestilah bersikap profesional dalam tugas mereka
tidak kira jika ia melibatkan ahli politik dari kerajaan atau pembangkang.
"Ramai pemimpin yang sudah korup, mempergunakan tempoh
darurat untuk mendapatkan tender yang memanfaatkan keluarga dan kroni
mereka," katanya.
Pada masa sama, Anwar menegaskan penambahan sokongan ahli Parlimen
terhadap PN tidak semestinya mereka memiliki majoriti.
"Kehilangan dua sokongan kepada kami tidak bermakna ia
menambah sokongan kepada mereka, kehilangan ini tidak menambah kepada bilangan
majoriti mereka, ini perkiraan yang cukup mudah jika mahu mengetahui berapa
sebenarnya jumlah sokongan PN," katanya.
"Macam dalam isu darurat dan penggantungan Parlimen, saya
mendedahkan bahawa 115 daripada 220 membantah. Jadi dalam isu spesifik sebegini
pun kerajaan sudah hilang majoriti," katanya.